Akibat mengalami sesak nafas secara tiba-tiba, seorang lelaki seberat lebih 200 kilogram terpaksa dikejarkan ke hospital dalam satu operasi mencabar di Bandar Laguna Merbok, Sabtu lalu.
Menurut laporan portal Weirdkaya yang memetik hantaran di Facebook, pasukan ambulans yang pertama tiba di lokasi pada mulanya menghadapi kesukaran untuk membawa pesakit berikutan fasiliti yang terhad.

Saiz badan pesakit yang luar biasa memerlukan alternatif lain yang lebih selamat bagi mengelakkan sebarang risiko.
Keadaan tersebut menyebabkan beberapa pasukan kecemasan dan sukarelawan terpaksa digerakkan.
Team Bantuan Sungai Petani (TBSP) telah menghantar kenderaan MPV mereka serta bekerjasama Ambulans Yayasan Tengku Kassim serta Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani.

Seramai tujuh hingga lapan anggota penyelamat terpaksa berganding bahu mengangkat pesakit itu secara manual kerana dia tidak dapat diletakkan di atas pengusung (stretcher) biasa.
Pesakit kemudiannya dibawa menggunakan MPV Komuniti TBSP terus ke Zon Merah, Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan segera.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani, Leong Ming Tat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.45 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Oleh kerana saiz pesakit, pengusung biasa memang tidak dapat digunakan. Kami memutuskan untuk mengangkatnya secara manual beramai-ramai bagi memastikan keselamatan pesakit terjamin dan mempunyai tenaga yang cukup untuk memindahkannya,” jelas beliau.
Dalam pada itu, pihak TBSP menerusi media sosial menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pasukan yang terlibat, termasuk pengguna jalan raya yang memberikan laluan kepada kenderaan MPV mereka semasa kecemasan tersebut.
Untuk makluman orang ramai, TBSP turut menyediakan perkhidmatan hantar-jemput pesakit ke hospital serta khidmat van jenazah secara percuma. Sesiapa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi mereka di talian 017-533 5600.