Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) telah bersetuju untuk mencadangkan sistem pemarkahan baharu 3×15 mata sebagai format pemarkahan rasmi dalam sukan badminton.
Cadangan ini akan dibentangkan untuk undian ahli-ahli gabungan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BWF yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 25 April 2026 di Horsens, Denmark.
Perkara ini dibuat susulan proses penilaian terperinci selama beberapa tahun yang menggabungkan analisis statistik, ujian dalam pertandingan sebenar, serta perundingan dengan pihak berkepentingan utama dalam komuniti badminton.
Dalam mesyuaratnya pada 8 November 2025, Majlis BWF bersetuju bahawa sistem 3×15 mata (dengan setting lanjutan sehingga 21 mata) memberikan keseimbangan terbaik dari segi keterujaan perlawanan, keadilan persaingan, kebajikan pemain serta persembahan kejohanan.
Sistem ini telah pun menjadi sebahagian daripada Undang-Undang Alternatif Badminton dan telah diuji dalam beberapa kejohanan kebangsaan terpilih dan kejohanan Gred 3, serta di Kejohanan Remaja Dunia BWF 2025.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan badan induk badminton dunia itu, kajian oleh BWF menunjukkan bahawa format 3×15 mata menawarkan beberapa kelebihan berbanding sistem semasa:
Alasan BWF
1) Perlawanan Lebih Menarik dan Kompetitif
Tempoh permainan yang lebih pendek mewujudkan lebih banyak situasi skor rapat dan lebih banyak ‘mata mendebarkan’, sekali gus meningkatkan suspens keseluruhan perlawanan.
2) Lebih Cepat ke Detik Penentuan
Pemain mencapai situasi penentuan ‘endgame’ dengan lebih cepat, membantu mengekalkan tempo permainan dan penglibatan penonton.
3) Tempoh Perlawanan Lebih Pendek dan Mudah Dijangka
Jumlah mata yang lebih sedikit membantu memperbaiki penjadualan, kelancaran kejohanan, dan konsistensi siaran, di samping menyokong pemulihan pemain dan mengurangkan keletihan.
4) Manfaat Kepada Semua Pihak Berkepentingan
Pemain: Beban fizikal berkurangan, risiko kecederaan lebih rendah, potensi karier lebih panjang, serta lebih tenaga dan fokus dalam setiap rali.
Pegawai Teknikal: Kurang keletihan dan prestasi lebih konsisten sepanjang hari kejohanan yang panjang.
Peminat & Penyiar: Pengalaman tontonan lebih dinamik serta tahap prestasi pemain yang lebih tinggi.
Penganjur Kejohanan: Perancangan operasi lebih efisien dan tahap penglibatan penonton yang lebih kukuh.
Sistem 3×15 yang cuba digunakan BWF ini bermakna permainan akan tamat dengan 15 mata. Sekiranya terikat pada kedudukan 14-14, perbezaan dua mata masih menjadi perkiraan.
Sekiranya tetap terikat, 21 akan menjadi mata terakhir sepertimana 30 pada kiraan semasa.