Toby Alderweireld berpendapat bahawa bekas rakan sepasukannya di Belgium, Vincent Kompany berpotensi menjadi Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada masa hadapan.

Bekas pertahanan itu percaya dunia bola sepak kini amat memerlukan seorang tokoh yang benar-benar memahami sukan tersebut untuk mempertahankan tradisi bola sepak serta memastikan kepentingan komersial tidak mengatasi nilai dan identiti permainan.

Kompany kini mengendalikan gergasi Jerman, Bayern Munich dan sudah berjaya memenangi dua gelaran Bundesliga berturut-turut. Pengendali berusia 40 tahun itu sebelum ini menikmati karier permainan yang cemerlang dengan mengumpul pelbagai trofi ketika beraksi di England dan Belgium.

Alderweireld yang pernah beraksi bersama Kompany sebanyak 47 kali di barisan pertahanan Belgium menegaskan bahawa bekas rakan sepasukannya itu memiliki visi yang tepat untuk menerajui dunia bola sepak.

Kompany Pilihan Terbaik

“Siapakah pilihan saya untuk menjadi Presiden FIFA seterusnya? Vincent Kompany,” ujar Alderweireld menurut sumber laporan Goal.

“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir bahawa dia mahu menjadi seorang pengurus. Dia sentiasa bercakap mengenai misinya untuk mengubah bola sepak tetapi mungkin misinya kini adalah untuk melindungi bola sepak.”

“Dia akan menjadi presiden pilihan saya, sentiasa.”

“Adalah sangat penting untuk Presiden FIFA merupakan seseorang yang pernah bermain bola sepak dan benar-benar memahami permainan ini,” tambahnya.

“Kita semua bermula sebagai peminat. Kemudian kita menjadi pemain bola sepak. Kita tahu kedua-dua sisi. Ketika kecil, saya pergi ke semua perlawanan tempat lawan dengan menaiki bas. Kami bukan sekadar individu yang memperoleh pendapatan lumayan hasil bermain di English Premier League dan UEFA Champions League.”

“Kami juga peminat bola sepak. Kami pernah bermain permainan ini. Kami tahu bagaimana rasanya menjadi pemain dan juga peminat. Perkara paling penting ialah individu yang bercakap bagi pihak bola sepak mestilah orang yang benar-benar memahami bola sepak.”

“Lihat sahaja Piala Dunia. Persembahan selama 20 minit ketika waktu rehat? Di situlah anda memerlukan seseorang yang memahami bola sepak untuk berkata tidak.”

“Perkara paling indah tentang sukan ini ialah tradisinya. Perkara baharu juga ada tempatnya, tetapi kita perlu melindungi tradisi.”

“Sebab itulah kita memerlukan bekas pemain dan individu yang benar-benar memahami bola sepak serta sudah lama berada dalam dunia ini untuk memastikan golongan ahli perniagaan tidak melampaui batas,” ujar Alderweireld lagi.

Sumber