Saingan All England 2026 yang bermula semalam menyaksikan beberapa kejutan besar sudah pun berlaku pada hari pertama kejohanan di Birmingham itu.

Lebih perit untuk diperkatakan, terdapat wakil Malaysia yang turut menerima nasib malang tewas kepada lawan yang tidak begitu dikenali.

Kejutan Besar Di Hari Pertama All England 2026

Pemain yang dimaksudkan ialah pilihan keempat, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas mereka ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk dalam aksi tiga set.

Juara dunia 2025 itu menang 21-18 pada set pertama tetapi segalanya seperti tidak menjadi pada set kedua hingga mereka tewas 12-21.

Kebangkitan cuba dijelmakan pada set ketiga apabila mereka mengejar dari jauh hingga kedudukan 20-20 tetapi kesilapan menyebabkan Tang Jie-Ee Wei terpaksa pulang hampa dengan kekalahan 23-25.

Separuh Akhir
Kredit Foto: Bertrand GUAY / AFP

Kejutan terbesar hadir dalam acara perseorangan lelaki selepas juara bertahan yang merupakan pilihan pertama kejohanan, Shi Yuqi tewas kepada pemain India, Lakshya Sen.

Pemain China itu tewas 21-23 pada set pertama dan kemudiannya bangkit dengan kemenangan 21-19 untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Namun, Lakshya Sen lebih tangkas untuk memastikan kemenangan menjadi milik beliau dengan 21-17.

Nasib sama dilalui pemain pilihan ketiga, Anders Antonsen dari Denmark yang kelihatan tidak bermaya tewas 8-21, 12-21 di tangan pemain Jepun, Koki Watanabe.

Pemain pilihan kelapan dari Perancis, Alex Lanier juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat All England 2026 dengan lebih awal selepas tunduk kepada Victor Lai dari Kanada 12-21, 23-21, 21-23.

Pasangan beregu campuran dari Denmark yang merupakan pilihan kelapan kejohanan iaitu Mathias Christiansen-Alexandre Boje turut hampa selepas tewas di tangan gandingan Chinese Taipei, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang 16-21, 18-21.