Penyanyi rap terkemuka, Altimet sedia bantu membayar hukuman denda RM100,000 yang dikenakan ke atas Selangor FC seperti diumumkan oleh Malaysia Football League (MFL) hari ini.
Hukuman tersebut dikenakan susulan tindakan Selangor ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- 5 Tanda Status Kewangan Anda Lebih Baik Daripada Kebanyakan Individu Lain
Hukuman yang diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 dimana wang berkenaan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.
Atas dasar cinta kepada pasukan bola sepaknya, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad sedia membantu membayar denda tersebut dengan menyumbang separuh kutipan royalti.
“Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu bayar denda ini jika SFC sudi,” kata Altimet menerusi laman X.
Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini utk bantu bayar denda ni, jika SFC sudi. #SELANGORSAMPAIMATI https://t.co/JWMuh7LMr9 pic.twitter.com/K7h5LhslXH
— Altimet.eth (@altimet) June 25, 2024
MFL dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.
“Perlawanan Liga Super (LS14) membabitkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan dimainkan tanpa penonton.
“Operasi perlawanan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan Selangor FC dengan syarat kemasukan wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan,” kata MFL dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Selangor mengumumkan ‘tidak hadir’ untuk aksi Piala Sumbangsih atas faktor keselamatan selepas kejadian simbah asid menimpa tonggak sayap, Faisal Halim sehingga melecur tahap empat.
Susulan itu, MFL mengumumkan pembatalan aksi Piala Sumbangsih sekali gus menyaksikan JDT diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super.