Kehadiran Cristiano Ronaldo di Arab Saudi telah mengubah landskap bola sepak dunia, namun pendedahan terbaharu menunjukkan pengaruhnya di sebalik tabir jauh lebih besar.

Hal ini kerana bekas rakan sepasukannya, Alvaro Gonzalez telah mendedahkan tindakan Ronaldo yang tidak mementingkan diri sendiri ketika menyelesaikan pertikaian berhubung tunggakan gaji.

Bekas pertahanan tengah Sepanyol itu tanpa berselindung mendedahkan masalah kewangan yang tidak dijangka di Riyadh sebelum ketibaan Ronaldo dari Manchester United pada Disember 2022.

Alvaro yang mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional pada awal Ogos 2026 ketika berusia 36 tahun, mengatakan bahawa beliau langsung tidak menerima gaji sepanjang enam bulan pertamanya bersama kelab tersebut.

Situasi itu amat mengejutkan memandangkan kelab yang disokong oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi itu merupakan antara institusi sukan paling kaya di negara berkenaan.

Cristiano Ronaldo Prihatin Dengan Masalah Rakan Sepasukan

“Saya berada di Arab Saudi selama enam bulan tanpa menerima gaji,” ujar Alvaro menurut sumber laporan Goal.

“Pada bulan-bulan pertama saya di sana, saya bersama kelab terbaik di negara itu selain Al-Hilal. Sebanyak 70,000 penyokong boleh memenuhi stadium untuk menyaksikan perlawanan.”

“Saya tidak terlalu bimbang kerana sudah 14 tahun bergelar pemain bola sepak dan mempunyai simpanan wang. Namun, tujuan saya ke sana adalah untuk mencari wang.”

Pertikaian tunggakan gaji itu akhirnya diselesaikan selepas kapten Portugal tersebut mendapat tahu mengenai krisis yang berlaku dalam bilik persalinan sebelum campur tangan secara langsung dengan pihak berkuasa berkaitan.

Menceritakan bagaimana Cristiano Ronaldo enggan menerima gaji pertamanya selagi rakan sepasukan belum dibayar, Alvaro berkata:

“Dia mendapat tahu tentang situasi itu. Dia sepatutnya dibayar oleh kerajaan dan dia berkata bahawa daripada gaji pertamanya, yang bukan sedikit jumlahnya, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membayar gaji pemain lain.”

“Ada antara kami yang masih belum menerima gaji, walaupun bukan semua. Dia kemudian berkata: ‘Selagi mereka ini belum dibayar, saya juga tidak akan menerima gaji saya.’ Dia sebenarnya tidak perlu pun sampai nak berbuat demikian, tetapi Cristiano Ronaldo tetap melakukannya.”

Sumber