Pengurus Real Madrid, Jose Mourinho menegaskan bahawa tiada pemain yang dijamin tempat dalam kesebelasan utama menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang RB Leipzig pada awal pagi esok.
Pengendali dari Portugal itu turut menggariskan sasaran secara berperingkat buat Los Blancos dalam saingan Eropah musim ini.
Kelab gergasi Sepanyol itu berada di momentum terbaik selepas mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Sevilla dalam saingan La Liga dan menewaskan Roma 4-3 dalam aksi dramatik di pentas Eropah pada minggu lalu.
Walaupun meraih rentetan kemenangan kebelakangan ini, Mourinho menegaskan bahawa keputusan terdahulu tidak membawa sebarang makna ketika Real Madrid menyasarkan tempat dalam kelompok lapan terbaik.

‘Amaran’ Mourinho Buat Pemain Real Madrid
“Hanya kerana anda sudah memenangi tiga perlawanan, tidak bermakna anda akan memenangi perlawanan keempat,” ujar Mourinho menurut sumber laporan Goal.
Mengulas pemilihan pemain dan persaingan di bahagian sayap yang membabitkan Vinicius Junior serta bekas bintang Leipzig, Yan Diomande, Mourinho menyampaikan mesej tegas kepada skuadnya.
“Tiada pemain yang kebal. Saya tidak suka konsep pemain yang tidak boleh digugurkan,” tegas Mourinho.
Pengendali digelar ‘The Special One’ itu menegaskan bahawa prestasi di atas padang menjadi penentu sama ada seseorang pemain layak mengekalkan tempatnya dalam pasukan.
“Apa yang menjadikan seseorang pemain itu tidak boleh digugurkan ialah prestasinya di atas padang.”
“Vinicius akan bermain di sayap kiri esok. Yan pula tidak tahu sama ada dia akan bermain esok atau tidak, jadi bayangkanlah,” jelas Mourinho.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa semua pihak agar meletakkan jangkaan yang realistik dalam berbicara tentang matlamat mereka di pentas Eropah.
“Matlamat Real Madrid ketika ini bukan untuk memenangi Liga Juara-Juara, sebaliknya memastikan tempat ke pusingan seterusnya.”
“Kami akan melangkah setapak demi setapak. Pertama, kami menyasarkan untuk menamatkan saingan dalam kelompok 11 atau 12 terbaik sebelum berusaha bersungguh-sungguh untuk memenanginya,” tambahnya lagi.