Jose Mourinho secara mengejutkan mencadangkan agar Vinicius Junior meninggalkan Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Pengurus berpengalaman itu berpendapat bahawa bintang Brazil berkenaan layak beraksi dalam liga yang memberikan penghormatan sewajarnya kepadanya, berbanding apa yang sedang dialaminya di La Liga.
Sebelum ini juara bertahan English Premier League (EPL), Arsenal dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya tetapi beliau akhirnya memilih untuk terus kekal bersama Real Madrid dengan menandatangani kontrak baharu.

Vinicius Sedang Bergelut
Vinicius kini sedang melalui tempoh sukar di ibu kota Sepanyol itu. Pemain sayap Brazil berkenaan sedang menjalani penggantungan empat perlawanan La Liga selepas dilayangkan kad merah secara terus ketika menentang Villarreal.
Ketegangan kembali tercetus pada pertengahan minggu apabila beliau dikeluarkan lebih awal ketika Real Madrid mencatat kemenangan dramatik 4-3 ke atas AS Roma menerusi kebangkitan pada penghujung perlawanan.
Meskipun memainkan peranan penting dalam kejayaan Real Madrid menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2022 dan 2024, pemain berusia 26 tahun itu kini mengalami kemerosotan prestasi yang ketara. Situasi tersebut menyaksikan beliau turut menjadi mangsa kritikan daripada sebahagian penyokong di Santiago Bernabeu.
Sehubungan dengan itu, Mourinho meluahkan rasa kagum terhadap ketahanan mental Vinicius Junior dalam menghadapi situasi sukar itu.
Mourinho menegaskan bahawa beliau sendiri tidak akan sanggup menerima layanan buruk yang sama daripada penyokong.
“Jika saya berada di tempat Vinicius, saya mungkin tidak akan berada di sini. Pada musim panas lalu, saya pasti akan memaksa perpindahan ke liga, negara, kelab dan stadium yang menghormatinya,” ujar Mourinho menurut sumber laporan Goal.

“Ketika dia menandatangani kontrak itu, dia berbuat demikian kerana Madrid ialah rumahnya dan Real Madrid ialah rumahnya.
“Apa yang saya katakan sebelum ini ialah saya meragui sama ada saya mampu memiliki kekuatan mental seperti yang ditunjukkannya.”
“Sebagai pemain yang mempunyai banyak pilihan, saya tidak pasti sama ada saya mampu bertahan seperti dia,” tambah Mourinho.