Bekas pemain Real Madrid, Eden Hazard yang menamatkan karier profesionalnya pada usia 32 tahun, mengakui beliau cukup mengenali Vinicius Junior selepas kedua-duanya pernah bermain dalam satu pasukan.
Sepanjang tempoh empat musim bersama kelab gergasi Sepanyol itu, Hazard hanya sempat beraksi dalam 27 perlawanan sebagai rakan sepasukan.
Namun, jumlah tersebut sudah memadai buat Hazard untuk membentuk pandangan tersendiri terhadap pemain sayap kelahiran Brazil tersebut.
Hazard melihat Vinicius merupakan seorang pemain yang memiliki kekuatan mental dan fizikal yang luar biasa, sekali gus membolehkannya menghadapi tekanan besar yang sentiasa mengiringi dirinya.
“Sekarang orang lebih banyak bercakap tentang apa yang dia lakukan di luar padang atau apa yang dia lalui, bukannya apa yang dia bawa dalam permainan.”
“Orang lupa betapa luar biasanya dia sebagai pemain,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.
Hazard turut mengakui tekanan yang dihadapi Vinicius bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani.
“Semua ini pasti memberi tekanan kepadanya. Bukan mudah untuk turun ke padang dengan hanya memikirkan tentang bola sepak.”
“Saya tidak akan terkejut jika pada usia 30 tahun dia berkata mahu berhenti dan meninggalkan bola sepak kerana tiada apa yang berubah.”
“Dia hanyalah seseorang yang sukakan bola sepak, yang suka bermain dan mahu menikmati permainan. Sama seperti saya ketika berada di atas padang.”
“Saya akan katakan kepadanya, ‘Berhati-hati. Bermainlah seperti yang kamu mahu bermain, tetapi sentiasa berhati-hati. Ramai orang menunggu kamu melakukan kesilapan. Teruskan bermain, nikmati permainan dan hiburkan peminat bola sepak sebenar,” tambahnya lagi.