Pengurus Manchester United, Ruben Amorim sedar kedudukannya pada ketika ini dalam bahaya walaupun tidak sampai dua bulan membimbing kelab tersebut.

Hakikat itu diakui sendiri Amorim selepas Manchester United hanya menang dua daripada tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak berada dibawah kendalian beliau.

Baca Juga:

Selain dua kemenangan tersebut, United mencatatkan satu keputusan seri dan empat kekalahan dialami.

Terbaharu, The Red Devils tewas pada dua perlawanan berturut-turut iaitu ditangan Bournemouth 0-3 dan Wolverhampton Wanderers 0-2.

Melihatkan kepada perkembangan terkini fasa awalnya bersama pasukan, Amorim menyedari hakikat beliau perlu memberikan sesuatu yang lebih baik selepas ini jika tidak mahu kehilangan jawatan tersebut dengan lebih awal.

“Pengurus Manchester United tidak akan pernah, tidak kira apa pun, merasa selesa,” ujar Amorim menurut sumber laporan Goal.

“Mereka (Manchester United) membayar klausa pembelian untuk mendapatkan saya. Saya tahu bahawa jika anda tidak menang, setiap pengurus dalam bahaya dan saya suka itu kerana itulah tugasnya.”

“Anda boleh berhujah bahawa saya baru berada di sini sebulan dan hanya beberapa sesi latihan, tetapi kami tidak menang. Itu adalah kenyataannya dan saya cukup selesa dengan itu.”

“Kita perlu berjuang melawan segalanya kerana penyokong kita sentiasa ada, tetapi mereka sudah penat dengan keadaan ini. Ia adalah sebahagian daripada bola sepak untuk menghadapi detik-detik sukar seperti ini.”

“Saya tahu ia akan menjadi sukar. Anda mengharapkan untuk menang lebih banyak perlawanan, mempunyai pemain dengan lebih banyak keyakinan untuk menterjemahkan idea, bekerja dan memperbaiki perkara.”

“Pada ketika ini, ia sangat sukar. Kita perlu bertahan untuk mendapatkan masa dan kemudian memperbaiki pasukan,” tambah beliau lagi.

 

Sumber