Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui kemenangan dramatik dicatatkan anak buahnya pada aksi suku akhir kedua UEFA Europa League (UEL) 2024/25 awal pagi tadi berjaya membuatkan mereka melupakan seketika musim penuh dengan kepahitan yang dilalui.
Tandukan pemain pertahanan, Harry Maguire pada minit ke-121 masa tambahan telah membawa United ke separuh akhir untuk berhadapan dengan Athletic Bilbao.
Baca Juga:
- Ruben Amorim Pertahan Keputusan Kelab Beraksi Di Malaysia
- Ejen Antony Bidas Ruben Amorim Pandang Rendah Kualiti La Liga
- Teddy Sheringham: Roy Keane Calon Paling Sesuai Ganti Amorim
Kemenangan itu hadir dengan cukup mendebarkan selepas mereka sempat ketinggalan 2-4 sebelum mempamerkan kebangkitan hebat untuk melakar kejayaan manis tersebut.
Di peringkat domestik, The Red Devils melalui kempen yang suram dimana juara liga utama 20 kali itu kini menghampiri kutipan mata terburuk dalam sejarah penyertaan mereka dalam kempen liga apabila sekadar menduduki tangga ke-14.
Menjuarai UEL merupakan satu-satunya harapan mereka untuk kembali beraksi di UEFA Champions League pada musim depan, bersama ganjaran lumayan yang datang dengan kejohanan elit Eropah itu.
“Bunyi sorakan ketika dua gol terakhir itu sungguh luar biasa. Itu adalah sesuatu yang akan kami simpan sebagai kenangan untuk masa depan,” ujar Amorim menurut sumber laporan Reuters.
“Saya rasa inilah sebabnya kita semua begitu mencintai sukan ini. Segala kekecewaan yang ditanggung jurulatih dalam musim seperti ini seperti detik suram dan saat-saat sukar, bila hadir momen seperti ini, segalanya terasa berbaloi.”
“Detik seperti ini boleh beri impak besar kepada para pemain musim ini. Ia boleh wujudkan semacam hubungan antara penyokong dan pemain untuk beberapa minit, kita semua seolah-olah terlupa betapa sendunya musim yang telah kami lalui,” tambah beliau lagi.