Kita tidak dapat menjangka bila kemalangan akan berlaku tetapi kita dapat mengurangkan risiko kecederaan dengan memakai tali pinggang ketika memandu. Bagi anda yang mempunyai anak kecil, adakah anda memangku anak atau meletakkan mereka di car seat bayi?
Sebenarnya masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar akan kepentingan kerusi keselamatan yang perlu diletakkan dalam kereta. Malah, ada yang membiarkan anak mereka bebas di tempat duduk belakang tanpa diletakkan pada kerusi keselamatan.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook Meme Umaida Taib telah berkongsikan kepentingnya memakaikan car seat untuk bayi dan bagaimana anaknya terselamat dari tercampak keluar ketika mereka berdepan kemalangan kereta yang teruk.
Beliau sangat bersyukur kerana telah meletakkan anaknya duduk dalam car seat. Kemalangan tersebut telah mengakibatkan kereta beliau berada dalam keadaan terbalik dan jika anda lihat keadaan kereta tersebut, pasti anda berasa mereka sekeluarga akan cedera parah.
Akan tetapi, mereka ditemui dalam keadaan yang selamat dan paling penting anak mereka yang berusia 4 bulan juga tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketika itu, anak mereka berada dalam car seat dan waktu kereta terbalik, anak mereka masih lagi dalam keadaan buckled up di car seat dan tidak tercampak keluar.
Bayangkan jika anak mereka tidak diletakkan pada car seat? Anda pasti tahu apa akan terjadi, bukan? Justeru itu, saudari Meme Umaida menyeru ibu bapa yang masih berdegil tidak mahu menggunakan car seat untuk anak-anak mereka agar mengambil iktibar daripada kejadian ini.
Malang tidak berbau, jika tidak mahu penyesalan di kemudian hari, anda haruslah menambah keselamatan untuk anak anda. Nyawa tidak boleh dibeli tetapi harta boleh dicari.