Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada anggota Kabinet bahawa sesiapa yang terlibat dalam rasuah atau salah guna kuasa akan dipecat serta-merta. Anwar berkata beliau tidak akan berkompromi dengan budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan perpaduan yang dipimpin olehnya.

“Saya sudah maklumkan kepada menteri-menteri yang saya pilih, pertama sekali, jangan ada rasuah. Saya juga telah memaklumkan kepada semua pemimpin parti komponen sekiranya ada menteri yang terlibat dengan rasuah, saya akan mendapatkan mandat untuk memecat mereka serta-merta,” katanya ketika berucap pada “Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri Bersama Ulama dan Asatizah” semalam.

Baca Juga:

Perdana menteri berkata peringatan itu bukan gimik politik sebaliknya keyakinan beliau bahawa beliau boleh membebaskan negara daripada rasuah. Anwar berkata setiap ahli politik mesti menunjukkan bahawa arena politik bukanlah pentas untuk mempamerkan kekayaan atau kehebatan kuasa.

“Saya nak buktikan ada orang Melayu guna kuasa untuk mempertahankan Islam, saya nak buktikan ada orang Melayu yang menjunjung prinsip belas kasihan dan keadilan di Malaysia. Kita kena berwaspada supaya perpecahan dapat dielakkan,” katanya.