Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan untuk meluaskan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas produk import, dengan menyatakan bahawa langkah itu disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi.
Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, berkata barangan makanan seperti avokado dan ikan kod yang diimport lazimnya dibeli oleh golongan berada, petik Free Malaysia Today.
Baca Juga:
- ‘Kerajaan Jamin Tak Naik Harga Petrol, Mungkin Kena Tunjuk Kad Pengenalan Untuk Beli RON95’ – Anwar Ibrahim
- Anwar Ibrahim Umum Bantuan RM2,500 Sehingga RM5,000 Kepada Mangsa Terjejas Kebakaran Di Putra Heights
- Anwar Ibrahim Dinasihat Kurangkan Kritik Israel, Kena Jaga Hati Trump
“Kalau orang kaya nak makan avokado, mereka kenalah bayar sedikit lebih,” katanya dalam sebuah acara di Ipoh, Perak, baru-baru ini.
Anwar Ibrahim jelaskan sebab pisang import dicukai
Beliau turut menyentuh kekecohan berhubung pisang import yang turut dimasukkan dalam senarai semakan yang dikemas kini.
Beliau berkata pisang tempatan seperti pisang emas dan pisang rastali tidak akan dikenakan cukai berkenaan.
Tambahnya lagi, orang ramai diminta membandingkan peluasan SST dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang menurutnya turut dikenakan ke atas keperluan asas seperti gula dan tepung.
Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM13 bilion bagi bantuan tunai STR kepada golongan B40 dan M40 bagi membantu meringankan beban akibat kenaikan kos sara hidup.
“Saya benar-benar berharap rakyat memahami perkara ini,” katanya.