Gergasi teknologi dunia, Microsoft dilaporkan telah mengisytiharkan status kecemasan tahap tertinggi atau ‘Code Red’ bagi merombak semula sistem kejuruteraan serta pelan tindak balas krisis syarikat tersebut.

Langkah drastik itu diambil susulan insiden gangguan perkhidmatan selama 24 jam pada 12 hingga 13 November lalu yang mendedahkan pelbagai kelemahan ketara dalam infrastruktur operasi mereka.

Menurut memo dalaman syarikat yang diteliti oleh pihak Reuters, gangguan berskala besar tersebut bukan sahaja menjejaskan operasi kerajaan dari Australia dan Jepun hingga ke Amerika Syarikat, malah turut melambatkan urusan firma perdagangan serta mengganggu sistem komunikasi syarikat penerbangan.

Insiden yang melumpuhkan perkhidmatan e-mel awan Exchange Online, Outlook, Teams, pembantu kecerdasan buatan (AI) Copilot, serta beberapa produk Microsoft 365 yang lain itu mencetuskan kebimbangan global terhadap tahap kerentanan infrastruktur digital kritikal.

Punca Kecacatan Sistem & Permohonan Maaf CEO

Microsoft mengesahkan bahawa insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan serangan siber mahupun aktiviti ejen AI.

Sebaliknya, ia berpunca daripada kecacatan skalabiliti sistem operasi Windows yang tidak dikesan sejak diperkenalkan pada bulan Julai lalu.

Susulan impak besar tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella turut tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Presiden M365 Core, Jason Henderson menerusi satu memo kepada kakitangan pada Jumaat menyifatkan insiden tersebut sebagai gangguan paling teruk pernah dialami oleh pengguna Exchange Online.

“Tidak pernah sebelum ini begitu ramai pelanggan terputus akses e-mel untuk tempoh yang begitu lama. Code Red bermaksud ini adalah tugasan keutamaan tertinggi bagi pasukan kita,” tegas Henderson.

‘Kabus Perang’ Ketika Krisis Berlaku

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden Korporat yang menyelia M365 Core dan Work IQ, Amanda Silver mendedahkan situasi sebenar yang dihadapi oleh pasukan jurutera mereka ketika cuba memulihkan sistem.

Menerusi memo berasingan pada Isnin, Silver menyifatkan pasukan penyelamat terpaksa beroperasi dalam keadaan seperti ‘fog of war‘ (kabus perang).

Walaupun barisan jurutera terbaik telah dikerahkan, mereka berdepan kesukaran mendapatkan gambaran menyeluruh kerana data diagnostik bertaburan di pelbagai sistem penjejakan dalaman yang terpisah.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila petugas bertindak balas terpaksa bertukar lebih daripada 11,000 mesej menerusi 11 ruang sembang Teams yang berbeza bagi menyelaras keputusan dan hipotesis pemulihan.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Copilot, Ejen dan Platform, Charles Lamanna dalam mesyuarat semakan Code Red memaklumkan bahawa komponen yang terjejas tersebut sebenarnya telah mengalami ‘kegagalan yang bersamaan dengan tempoh kira-kira sepuluh tahun had kegagalan yang boleh diterima’.

Sasaran Pemulihan Pantas Dalam Tempoh Sejam

Sebagai langkah pembetulan segera di bawah perintah Code Red, Microsoft menetapkan sasaran baharu untuk mencapai penyelesaian gangguan di peringkat global dalam tempoh satu jam sekiranya insiden serupa berulang pada masa hadapan.

Antara pelan tindakan utama yang digariskan oleh Silver termasuklah:

1. Pengagihan Beban & Trafik: Menumpukan kepada lima aliran kerja utama melibatkan pelepasan beban (load shedding) dan pembahagian trafik mengikut geografi.

2. Penggunaan Ejen AI: Mengerahkan ejen AI bagi membantu jurutera mendiagnosis data kesihatan sistem dengan lebih pantas.

3. Pemantauan Harian: Henderson akan mempengerusikan mesyuarat harian bersama pasukan kepimpinan Substrate bagi memantau perkembangan tindakan pembaikan secara dekat.

Kelemahan Tampalan Keselamatan yang Perlahan

Selain isu gangguan perkhidmatan, memo terdahulu oleh Henderson turut mendedahkan satu lagi masalah kritikal melibatkan kelewatan pengedaran tampalan (patch) keselamatan ke seluruh dunia.

Beliau mendedahkan bahawa dalam satu insiden berasingan baru-baru ini, pembaikan segera bagi sistem produksi mengambil masa antara lima hingga enam hari untuk mencapai liputan penuh di peringkat global.

“Bagi isu keselamatan yang paling mendesak, kita perlu bergerak daripada fasa pengesanan kepada pengedaran selamat di seluruh dunia dalam masa satu jam. Jelas sekali, kita masih belum mencapai tahap itu,” ujar Henderson.

Jurucakap Microsoft ketika dihubungi Reuters menegaskan bahawa tugas mereka tidak berakhir sebaik sahaja perkhidmatan dipulihkan, sebaliknya pasukan teknikal akan terus bekerja tanpa henti bagi memastikan setiap pengajaran daripada insiden ini dilaksanakan segera demi mengelakkan gangguan pada masa hadapan.

Sumber