Dalam era moden, perubahan ketara dapat dilihat dengan penerapan sains sukan dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan dan pemain. Salah satu elemen yang semakin penting dalam mana-mana sukan pada hari ini ialah kehadiran penganalisis prestasi (Performance Analyst).

Merujuk kepada laman rasmi Institut Sukan Negara, analisis prestasi ditakrifkan sebagai satu bentuk pemerhatian sistematik yang bertujuan meningkatkan prestasi serta membantu dalam proses membuat keputusan ketika perlawanan.

Ia merupakan proses menilai prestasi dalam sukan sambil memperkukuhkan kefahaman terhadap tindakan yang membawa kepada sesuatu keputusan.

Pada masa sama, ia membantu mengoptimumkan prestasi pemain serta menyokong jurulatih dan pemain dalam mencapai keputusan yang membanggakan.

Dalam konteks kejurulatihan, penganalisis prestasi berperanan menyediakan maklumat berbentuk kuantitatif dan kualitatif bagi mengenal pasti petunjuk utama berkaitan prestasi dalam sesuatu sukan.

Peranan Penganalisis Prestasi dalam konteks sukan moden

Individu yang memegang peranan sebagai penganalisis prestasi mempunyai tanggungjawab khusus dalam sesebuah pasukan, termasuk kelab-kelab di Malaysia.

Mereka bertanggungjawab menyediakan informasi berkaitan analisis latihan, analisis perlawanan, maklum balas video serta analisis pergerakan pemain.

Sebagai contoh, mereka perlu merakam perlawanan dan sesi latihan selain turut menyediakan analisis terperinci mengenai pasukan lawan. Namun harus ditegaskan, tugas mereka berbeza daripada juruvideo pasukan.

Selepas sesuatu perlawanan berakhir, penganalisis prestasi akan melakukan suntingan video bagi menghasilkan laporan pasca perlawanan (post-match report). Laporan tersebut digunakan oleh barisan kejurulatihan serta dimasukkan ke dalam pangkalan data untuk tujuan penyediaan statistik.

Secara ringkas, barisan analisis prestasi ini menyediakan maklum balas berbentuk video kepada jurulatih dan pemain, sama ada ketika perlawanan mahupun sesi latihan berlangsung.

Segala data dan maklumat berkaitan perkembangan prestasi individu amat penting buat jurulatih dalam mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.

Mengapa Penganalisis Prestasi amat penting buat sesebuah pasukan?

Seiring dengan perubahan pesat dalam senario sukan saban tahun, kepentingan penganalisis prestasi dalam sesebuah pasukan tidak boleh dipandang ringan.

Ia menjadi asas penting buat jurulatih dan kakitangan pasukan dalam menilai prestasi pemain, mengenal pasti peningkatan atau penurunan prestasi serta memahami dengan lebih jelas kelebihan dan kelemahan setiap pemain.

Dengan mengumpulkan maklumat melalui rakaman video perlawanan, penganalisis prestasi dapat membantu mengurangkan unsur bias dan memberikan penilaian yang lebih objektif terhadap apa yang berlaku di atas padang.

Data yang diperoleh juga memberikan gambaran jelas kepada pemain dan jurulatih mengenai perkembangan semasa, sama ada berada pada landasan yang betul atau memerlukan penambahbaikan.

Peranan ini seterusnya membantu jurulatih merangka perancangan lebih terperinci bagi meningkatkan prestasi pemain ketika sesi latihan.

Kesimpulan

Perkongsian ini hanya menyentuh sebahagian daripada peranan asas serta kepentingan analisis prestasi dalam pasukan.

Hakikatnya, peranan yang dimainkan oleh penganalisis prestasi sangat besar dalam membantu pasukan mencapai keputusan terbaik.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa mereka turut meringankan beban jurulatih dengan menyediakan data penting sebelum dan selepas perlawanan.

Kerjasama erat antara jurulatih, pemain dan penganalisis prestasi mampu membantu mengembangkan potensi pemain secara menyeluruh.

Selain itu, ia turut menjadikan jurulatih lebih efektif melalui sesi latihan yang lebih tersusun serta proses membuat keputusan yang lebih tepat.