Kecoh di media sosial hari ini apabila gaya bersahaja seorang atlet e-sukan negara mencuri tumpuan netizen.
Menerusi satu hantaran tular di Threads oleh pengguna @joohnlabu, dia berkongsi reaksi isterinya yang kehairanan melihat gelagat wakil Malaysia di pentas antarabangsa itu.
“Pagi tadi bini aku tengok Sukan Asia Aichi-Nagoya. Sampai dia cerita dekat aku yang kata pemain Malaysia ini macam pelik sikit. Dengan kaki ayam tak pakai kasut dia, dengan muka menguap dia. Entah apa-apa weh,” kongsi pengguna tersebut merujuk kepada gambar atlet kita yang sedang menguap besar di kerusi simulator tanpa memakai kasut.
Namun, siapa sangka di sebalik wajah mengantuk dan gaya santai persis bermain di ruang tamu rumah itu, tersimpan satu magis luar biasa buat kontinjen negara.
CIPTA SEJARAH EMAS E-SUKAN PERTAMA
Atlet berusia 27 tahun yang dimaksudkan itu ialah Taj Izrin Aiman Taj Madira.
Beliau baru sahaja mencipta sejarah besar apabila menjadi atlet e-sukan pertama Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan Asia selepas mengungguli acara Gran Turismo 7 di Aichi Sky Expo, Jepun.
Walaupun pada mulanya kelihatan mengantuk di kaca televisyen, Taj Izrin sebenarnya mempamerkan aksi penuh disiplin, ketenangan, dan kawalan strategi yang sangat tajam sepanjang tiga perlumbaan.
Beliau berjaya mengumpul keseluruhan 36 mata hasil prestasi yang konsisten.
Pada Perlumbaan 1, beliau membuka saingan di tempat kedua dengan catatan masa 14 minit 36.103 saat di belakang wakil tuan rumah, Ryota Kokubun.
Rentak cemerlang ini diteruskan dalam Perlumbaan 2 di mana beliau sekali lagi menaiki podium di tempat kedua, kali ini sekadar ketinggalan 0.054 saat kepada pelumba Korea Selatan, Kim Young Chan.
KETENANGAN SANG JUARA
Keputusan dramatik itu menyaksikan Taj Izrin terikat 16 mata dengan Kokubun, sekali gus menjadikan perlumbaan terakhir sebagai penentu kejuaraan mutlak. Waktu inilah ketenangan sebenar beliau terserlah.
Bijak mengatur strategi dalam saingan 17 pusingan, pelumba negara itu akhirnya mendominasi Perlumbaan 3 di tempat pertama, meninggalkan pencabar terdekat dari Korea Selatan dan Jepun dengan kelebihan lebih empat saat.
Kemenangan bergaya ini membolehkan beliau mengutip 20 mata penuh dalam perlumbaan terakhir, melengkapkan 36 mata keseluruhan. Wakil Arab Saudi, Naif Al Faleh meraih perak manakala Kim Young Chan memenangi gangsa, masing-masing dengan 25 mata.
BAWA PULANG GANJARAN LUMAYAN
Kejayaan ini bukan sahaja memperbaiki pencapaian terbaik e-sukan negara iaitu pingat perak dan gangsa pada edisi Hangzhou 2022, malah turut disusuli dengan khabar gembira.
Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) telah mengumumkan ganjaran tambahan sebanyak RM20,000 sebagai penghargaan khas buat wira negara ini.
Melihatkan kejayaan luar biasa itu, pengguna Threads yang pada awalnya kehairanan dengan gaya atlet tersebut turut tergamam dan memuat naik poster kemenangan Taj Izrin.
“Nohhh. Emas terus mamat ini weh! Hahahahaha! Apa saka dia bawa sampai ke Jepun,” selorohnya lagi yang pantas mengundang ketawa warga maya.
Tahniah Taj Izrin Aiman, seluruh rakyat Malaysia bangga dengan anda!