Di sebalik kemudahan internet dan peranti digital, terdapat penggunaan tenaga serta kesan terhadap alam sekitar yang perlu diberi perhatian.
Perkara itu antara yang diketengahkan Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (SFR2030) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menerusi LESTARI, sebanyak 15 juta peranti disasarkan untuk diurus secara lestari menjelang 2030 melalui penggunaan semula, baik pulih, naik taraf dan kitar semula secara bertanggungjawab.
Namun, agenda ini bukan sekadar tentang telefon lama.

Dari motosikal elektrik hingga menara guna diesel
Dalam ucapannya, Fahmi mengambil contoh Pos Malaysia yang telah beralih daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman kepada kenderaan elektrik untuk penghantaran.
Beliau turut membangkitkan penggunaan tenaga dalam studio penyiaran yang memerlukan sistem penyejukan bagi mengawal haba daripada peralatan produksi.
Dalam sektor telekomunikasi pula, perhatian turut diberikan kepada penggunaan tenaga dan air oleh data centre.
Lebih menarik, Fahmi membangkitkan isu menara telekomunikasi di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada grid elektrik.
Sesetengah menara perlu bergantung kepada diesel genset untuk kekal beroperasi.
Dengan kira-kira 60,000 menara telekomunikasi di seluruh negara, beliau mempersoalkan jumlah tenaga yang diperlukan untuk memastikan kesemuanya kekal aktif.
Menurutnya, perkara ini membuka ruang untuk kerajaan dan industri meneroka penggunaan sumber tenaga yang lebih lestari, termasuk tenaga boleh baharu.
Tiga perkara jadi fokus LESTARI

Untuk menggerakkan usaha ini, LESTARI menetapkan tiga teras utama iaitu Kelestarian Iklim dan Alam Sekitar, Impak Sosial dan Keterangkuman serta Teknologi dan Inovasi.
Antara fokusnya termasuk kecekapan tenaga, pengurangan karbon, tenaga boleh baharu, ekonomi kitaran, AI dan inovasi rendah karbon.
Rangka kerja ini dibangunkan bersama industri menerusi libat urus melibatkan 116 peserta daripada 47 organisasi dan pelaksanaannya akan dipantau berdasarkan sasaran serta petunjuk yang ditetapkan.
5 juta rakyat turut disasarkan menerima manfaat

Selain alam sekitar, LESTARI turut membawa sasaran sosial.
MCMC menjangkakan program impak sosial bersama pemain industri dapat memberi manfaat kepada 5 juta rakyat menjelang 2030.
Peranti yang masih boleh digunakan pula boleh dibaik pulih atau digunakan semula, sekali gus membantu memanjangkan jangka hayat peranti dan memperluas akses kepada teknologi, khususnya bagi golongan rentan dan berpendapatan rendah.
Dalam majlis sama, MCMC turut memperkenalkan Net Zero & Circularity Alliance (NZCA) bagi memperkukuh kerjasama industri dalam pengurangan karbon serta pengumpulan, penggunaan semula dan kitar semula peranti.
Sebanyak 15 organisasi turut menandatangani ikrar sokongan kepada LESTARI dan NZCA, termasuk Media Prima, CelcomDigi, Maxis, Astro, Pos Malaysia, Telekom Malaysia, Time dotCom, U Mobile dan CompAsia.

Secara keseluruhan, LESTARI menyokong aspirasi sektor komunikasi dan multimedia ke arah pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050, selari dengan agenda kelestarian negara.
Jadi, apabila bercakap tentang teknologi yang lebih lestari, ia bukan hanya soal apa yang berlaku kepada telefon lama selepas dibuang.
Ia juga tentang bagaimana puluhan ribu menara, data centre, studio penyiaran dan sistem penghantaran boleh terus beroperasi tanpa mengabaikan penggunaan tenaga serta kesannya kepada alam sekitar.