Isyarat tangan berbentuk ‘X’ yang dilakukan oleh ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan pada lewat aksi bertemu Argentina awal pagi semalam telah mencetuskan pelbagai spekulasi.

Menurut sumber Bein Sports, walaupun isyarat itu dikaitkan dengan protokol anti-perkauman FIFA, maksud sebenar di sebalik tindakannya pada perlawanan tersebut terus menjadi perdebatan hangat.

Kebangkitan dramatik Argentina menewaskan Mesir dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 mencipta antara detik paling hangat diperkatakan sepanjang kejohanan.

Tindakan Hossam Hassan Cetus Pertanyaan

Di tengah-tengah bantahan terhadap beberapa keputusan pengadil yang mencetuskan kontroversi, Hossam Hassan bersama seorang pemain simpanan mengangkat kedua-dua tangannya sebelum menyilangkan lengan bawahnya membentuk isyarat ‘X’, satu gerakan yang serta-merta menarik perhatian peminat dan penganalisis bola sepak.

Insiden itu berlaku selepas beberapa detik kontroversi, termasuk keputusan VAR yang membatalkan jaringan Mostafa Zico serta insiden yang menyaksikan Mohamed Salah dipercayai dijatuhkan di dalam kotak penalti, namun pengadil Francois Letexier memilih untuk tidak menilai semula situasi tersebut menerusi semakan video.

Susulan dengan keputusan itu, Argentina melakukan serangan balas pantas lalu menjaringkan gol kemenangan, sekali gus menambahkan lagi kekecewaan di bangku simpanan Mesir.

Sejak 2024, FIFA secara rasmi mengiktiraf isyarat ‘X’ sebagai sebahagian daripada protokol bagi melaporkan dakwaan insiden perkauman yang berlaku ketika perlawanan. Pemain, jurulatih, anggota barisan kejurulatihan serta pengadil boleh menggunakan isyarat tersebut untuk memaklumkan kepada pegawai perlawanan mengenai sebarang tingkah laku yang disyaki berunsur diskriminasi.

Hossam Hassan
Kredit Foto: ROBERTO SCHMIDT / AFP

Sebaik sahaja isyarat itu dilakukan, pengadil boleh mengaktifkan protokol tiga langkah FIFA iaitu menghentikan sementara perlawanan bagi membolehkan pengumuman dibuat di stadium, menggantung perlawanan sekiranya tingkah laku tersebut berterusan, atau dalam situasi yang lebih serius, menamatkan terus perlawanan.

Bagaimanapun, ketika aksi antara Argentina dan Mesir itu, pengadil Francois Letexier tidak pernah mengaktifkan protokol berkenaan.

Setakat ini, tiada sebarang bukti yang menunjukkan Hossam Hassan menggunakan isyarat tersebut untuk melaporkan insiden perkauman.

Malah, FIFA mahupun Persatuan Bola Sepak Mesir tidak pernah melaporkan sebarang kes diskriminasi yang berlaku sepanjang perlawanan itu.

Selepas perlawanan, jurulatih Mesir itu menumpukan sepenuhnya ulasannya terhadap mutu pengadilan. Hossam Hassan menegaskan pasukannya telah dilayan secara tidak adil, mengkritik penggunaan VAR dan mendakwa beberapa keputusan pengadil memberi kesan secara langsung terhadap keputusan perlawanan yang akhirnya memihak kepada Argentina.

Sumber