Jurulatih Mesir, Hossam Hassan percaya kekalahan dramatik 3-2 pasukannya kepada Argentina di Piala Dunia 2026 awal pagi tadi adalah ‘perlawanan yang jelas telah diatur’, sambil mendakwa skuadnya telah ‘ditipu secara tidak adil’ oleh pegawai perlawanan.
Mesir yang beraksi buat kali pertama di peringkat pusingan 16 terbaik Piala Dunia dilihat berada di landasan untuk mencipta kejutan besar ke atas juara bertahan selepas mendahului dengan kelebihan dua gol di Stadium Atlanta.
Tandukan Yasser Ibrahim meletakkan Mesir di hadapan pada minit ke-15 sebelum Mostafa Zico yang golnya sebelum itu dibatalkan menerusi VAR, menggandakan kelebihan pasukannya pada minit ke-67.
Bagaimanapun, dua gol dalam tempoh empat minit menerusi Cristian Romero dan Lionel Messi mengubah rentak perlawanan, sebelum Enzo Fernandez menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukan pada masa kecederaan.
Mesir menjadi satu-satunya pasukan Afrika yang pernah mendahului juara bertahan Piala Dunia dengan kelebihan dua gol atau lebih dalam sejarah kejohanan itu, namun gagal mempertahankan kelebihan tersebut sehingga wisel penamat.
Hossam Hassan Lantang Kritik Pegawai Perlawanan
Selepas perlawanan, Hossam Hassan melancarkan kritikan pedas terhadap pegawai perlawanan. Gol Zico yang dibatalkan berlaku selepas Marwan Attia didapati mengasari Lisandro Martinez dalam gerakan yang membawa kepada jaringan itu, manakala rayuan Mesir untuk mendapatkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan selepas Hamdy Fathy dikatakan dikasari Alexis Mac Allister turut tidak dilayan, sebelum Fernandez menjaringkan gol kemenangan.
“Saya tidak mahu bercakap secara baik dan mengatakan kami hanya tidak bernasib baik. Kami telah ditipu secara tidak adil hari ini, kami menjadi mangsa ketidakadilan,” ujar Hassan menurut sumber laporan Bein Sports.
“Saya akan cakap apa yang ada dalam fikiran saya tanpa mengira apa akibatnya. Ini jelas merupakan perlawanan yang telah diatur, dan seluruh dunia menyaksikannya.”
“Dan saya mahu katakan satu lagi perkara, jika mereka benar-benar mahu Argentina menang, mengapa perlu panggil semua orang datang untuk menyertai kejohanan ini?”
Hossam Hassan meneruskan luahan kemarahannya sepanjang sebahagian besar sidang media selepas perlawanan dengan kebanyakan rungutannya tertumpu kepada kegagalan pengadil dan VAR untuk campur tangan dalam insiden melibatkan Hamdy Fathy.
“Kami langsung tidak melihat sebarang rasa hormat atau semangat kesukanan. Tiada langsung rasa hormat atau semangat kesukanan.”
“Sepakan penalti yang sepatutnya diberikan tidak diberikan dan langsung tidak disemak menerusi VAR. Gol kedua kami pula dibatalkan dengan keputusan yang sukar dipercayai.
“Malah, tiada langsung semakan VAR dilakukan sedangkan kita semua dapat melihat dengan jelas jersi ditarik.”
Kelebihan awal Mesir hampir terpadam apabila Haissem Hassan menjatuhkan Nicolas Tagliafico di dalam kotak penalti, namun Mostafa Shobeir bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Lionel Messi.
“Walaupun gol-gol yang kami bolosi berpunca daripada kesilapan sendiri, kesilapan terbesar ialah apabila anda tidak mendapat hak yang sepatutnya daripada mereka yang bertanggungjawab membuat keputusan.”
“Saya seorang yang sangat tidak suka kalah. Dan apabila kekalahan itu terasa begitu tidak adil seperti hari ini, saya hanya mampu meminta penyokong agar tidak bersedih. Kami benar-benar mahu menghadiahkan lebih banyak kegembiraan kepada mereka.”
“Saya tidak akan terus mengikuti atau menonton baki perlawanan Piala Dunia ini.”
“Ini cara saya untuk menyuarakan bantahan,” tambah Hossam Hassan lagi.