Pertemuan terbaru dan paling penting antara Presiden Prabowo Subianto dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini adalah berkaitan dengan usaha perdamaian di Timur Tengah (Gaza).

Dalam pada itu, tular sebuah video yang memperlihatkan interaksi di antara Prabowo dan Trump dengan riak muka yang serius sekaligus timbul persoalan di kalangan netizen apakah yang sedang dibincangkan bersama.

Timbul spekulasi mereka membincangkan tentang peluang diplomasi atau ekonomi yang mungkin hanya mahu dibincangkan secara bukan rasmi di sebalik tabir.

Memetik The Star, rupanya inti kepada kejadian yang dilaporkan adalah bahawa Presiden Indonesia Prabowo Subianto secara tidak sengaja terakam melalui mikrofon meminta untuk bertemu dengan anak lelaki Presiden AS Donald Trump, iaitu Eric Trump, yang merupakan Naib Presiden Eksekutif di Organisasi Trump.

Trump dan Prabowo, yang turut kelihatan dalam rakaman video, nampaknya tidak menyedari bahawa mikrofon masih merakam perbualan mereka secara langsung.

Kedua-dua pemimpin itu (Trump dan Prabowo) berinteraksi di bandar peranginan Mesir, Sharm el-Sheikh, sejurus selepas Trump menyampaikan ucapan kepada sekumpulan pemimpin dunia yang berkumpul untuk sidang kemuncak tersebut. Sidang kemuncak ini diadakan berikutan pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Setakat ini, Rumah Putih (White House) dan Kedutaan Indonesia di Washington tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen mengenai perbualan mereka (yang terekam mikrofon).

Tidak jelas daripada rakaman audio tersebut sama ada kedua-dua pemimpin itu merujuk kepada Organisasi Trump atau sebarang urusan perniagaan yang melibatkan presiden (Trump) atau keluarganya.

Berbicara dengan Trump di belakang podium yang dilengkapi mikrofon, Presiden Prabowo merujuk kepada sebuah wilayah yang “tidak selamat, dari segi keselamatan” (“not safe, security-wise”) sebelum beliau bertanya kepada Trump: “Bolehkah saya bertemu Eric?”

Trump kemudian membalas: “Saya akan minta Eric telefon. Patutkah saya buat begitu? Dia anak yang baik. Saya akan minta Eric telefon.”

Menyambung perbualan yang terekam, Presiden Prabowo kemudian berkata: “Kami akan mencari tempat yang lebih baik.”

Trump mengulang kembali: “Saya akan minta Eric telefon anda.”

Prabowo menambah, memastikan permintaannya: “Eric atau Don Jr.”

Apa Prabowo 'Sembang' Dengan Trump?
Sumber Gambar: CNN

Perbincangan ini menarik perhatian kerana Eric Trump dan abangnya, Donald Trump Jr., kedua-duanya berkhidmat sebagai naib presiden eksekutif dalam Organisasi Trump (Trump Organisation).

Organisasi ini menjalankan operasi perniagaan yang melibatkan hartanah, hospitaliti (perhotelan), dan usaha niaga berasaskan rantaian blok (blockchain).

Organisasi Trump diketahui mempunyai kepentingan perniagaan di Indonesia, termasuk kelab golf berhampiran Jakarta, dan projek lain (seperti kelab golf dan pusat peranginan di Bali) yang disenaraikan sebagai “akan datang.”

Ini menunjukkan bahawa pertemuan yang diminta Prabowo berkemungkinan besar adalah mengenai perkara perniagaan atau pelaburan peribadi yang berkaitan dengan keluarga Trump.