Apple Store sentiasa ditonjolkan dengan konsep reka bentuknya moden, minimalis dan futuristik, yang membezakan ia daripada kedai runcit teknologi biasa.
Setiap kedai direka dengan ruang terbuka yang luas, dinding kaca yang besar, dan pencahayaan semula jadi yang optimum, memberi pengalaman membeli-belah yang selesa dan interaktif.
Baca Juga:

Baru-baru ini Dezeen Awards, sebuah anugerah tahunan antarabangsa bagi dunia seni bina (architecture), reka bentuk dalaman (interior design) dan reka bentuk produk (industrial design) telah mencalonkan Apple The Exchange TRX sebagai salah satu projek seni bina terbaik dunia 2025.
Dihasilkan oleh Foster + Partners, firma seni bina dan reka bentuk antarabangsa itu telah disenarai pendek dalam kategori reka bentuk pencahayaan seni bina.
“Foster + Partners mereka bentuk pencahayaan untuk Apple The Exchange TRX, dengan menampilkan bumbung berlapis yang memancarkan cahaya hangat pada waktu malam, sekali gus menarik perhatian dan mengundang pengunjung untuk mendekati kawasan pembangunan tersebut.
“Apple The Exchange TRX ialah lokasi Apple Store pertama di Malaysia, dengan reka bentuk yang menghubungkan secara visual dan ruang antara atrium utama pusat beli-belah dan taman di atas bumbung. Reka bentuknya turut merangkumi taman tropika yang subur serta kawasan rumput komuniti yang mengelilingi aras atas kedai tersebut.
“Kedai ini dibina tiga tingkat, dengan dek tinjau (viewing deck) di bahagian atas yang bersambung terus ke tepi taman. Susun atur ini membolehkan cahaya semula jadi dan kehijauan taman menembusi ruang dalaman yang tinggi, mewujudkan suasana yang terbuka, tenang dan harmoni — seiring dengan identiti reka bentuk Apple yang menekankan kesederhanaan dan keseimbangan dengan alam semula jadi,” petik Dezeen Awards.

Wakil tunggal dari Malaysia itu bersaing dengan empat lagi calon antarabangsa iaitu Hangzhou Prism oleh BPI, Hermès’ Collections at Milan Design Week 2025 oleh L’Observatoire International, Moons oleh Office of Things dan Aēsop Hainan Lighting Installation oleh Other Matter.
Pemenang Dezeen Awards 2025 akan diumumkan pada akhir November nanti di Exhibition White City, London.
