Rancangan untuk membina sebuah megabandar sepanjang 1 batu (161 kilometer) di Arab Saudi sebahagian utama daripada projek pembangunan semula bernilai AS$2 trilion telah ditangguhkan bagi membolehkan skala projek itu dikecilkan.
Projek yang dikenali sebagai The Line itu sepatutnya menjadi antara projek mega mewah negara Arab tersebut, yang direka untuk mempelbagaikan ekonomi selain daripada kebergantungan kepada minyak, melalui sektor hartanah.
Baca Juga:
Ia selaras dengan pelan Vision 2030 oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Namun kini, kerajaan Riyadh dilihat telah mengubah keutamaan mereka, petik Independent.

“Kami telah berbelanja terlalu banyak. Kami bergerak terlalu laju, seperti memecut 100 batu sejam. Kini kami menghadapi defisit. Kami perlu menyusun semula keutamaan.” kata seorang pegawai Saudi pada forum pelaburan utama di ibu negara minggu lalu, menurut laporan The Times.
The Line pada asalnya dibayangkan sebagai sebuah bandar ‘horizontal futuristik’ di tengah padang pasir berhampiran Laut Merah, sebahagian daripada projek bandar Neom di Arab Saudi.
Ia dirancang untuk menempatkan 9 juta penduduk, lebih suku daripada keseluruhan populasi negara itu, projek ini dijangka mentakrifkan semula rupa bentuk bandar pada masa hadapan.
Bagaimanapun selepas penyusunan semula, projek yang diperkecilkan ini hanya akan menempatkan sebahagian kecil daripada populasi asal yang dirancang, dengan 300,000 penduduk dalam sebuah bandar yang panjangnya hanya beberapa kilometer.
Arab Saudi terkesan harga minyak jatuh

Penasihat utama Putera Mahkota, eksekutif kelahiran Amerika Jerry Inzerillo, memberitahu The Times bahawa negara itu sedang ‘melakukan pembetulan hala tuju; kerana Arab Saudi merasai kesan kewangan akibat kejatuhan harga minyak.
Apabila Vision 2030 diperkenalkan pada 2016, harga minyak berada pada purata $100 (RM76.62) setong; sejak 2022, harga minyak tidak lagi mencecah tiga digit, dan minyak masih menyumbang separuh daripada ekonomi negara.
“Inilah yang memaksa anda menjadi lebih berhati-hati,” kata Inzerillo, yang mengetuai projek bandar Diriyah bernilai $63 bilion (RM 263.3 bilion) dalam bandar Riyadh, yang dijangka siap menjelang 2030.
Satu sumber memberitahu Reuters minggu lalu bahawa negara itu memilih untuk menumpukan semula dana selepas kelewatan projek mega, sebaliknya memberi tumpuan kepada pelaburan dalam kecerdasan buatan dan pusat data yang dikuasakan oleh hidrokarbon.
