Sejak berlaku peperangan di Gaza pada bulan lalu, pelbagai kemusnahan telah berlaku di kawasan berkenaan sekaligus membuatkan angka kematian melibatkan kanak-kanak dan wanita semakin meningkat setiap hari.
Kekejaman rejim zionis ke atas penduduk Gaza telah membuatkan sejumlah besar negara termasuk Malaysia menyumbang wang yang banyak dalam membantu misi kemanusiaan.
Baca Juga:
- ‘Gaji RM2,800 Beli Civic’ – Peguam Dedah Ini Antara Punca Orang Muda Muflis Awal
- Berani ‘Pecah Tembok’ Industri Boba Di Malaysia, Ini Nasihat Pengasas Tealive Buat Anak Muda
- ‘Ibu Lebih Percayakan Scammer’ – Anak Luah Rasa Kesal Duit Lebih RM60,000 Milik Ibunya Lesap
Terbaharu, di sebalik negara-negara lain berlumba-lumba untuk membantu penduduk Gaza, duta Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pihaknya bukan sahaja bersedih akibat kematian orang awam Gaza malah marah apabila masyarakat antarabangsa gagal membantu walaupun dengan menyediakan perubatan makanan dan tempat tinggal.
Sehubungan dengan itu, Abdulaziz Alwasil menyeru gencatan senjata segera di Gaza dan menamatkan sekatan haram serta membawa masuk lebih banyak bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada penduduk Gaza termasuk bekalan asas seperti elektrik, bahan api, ubat-ubatan, makanan dan air.
“Oleh kerana masyarakat antarabangsa tidak dapat menamatkan pembunuhan dan pemindahan lebih lanjut, kami telah melancarkan kempen untuk membantu rakyat Palestin.
“Dalam dua hari ini kami dapat mengumpul satu perempat daripada satu juta riyal Arab Saudi,” katanya.
Tambahnya, peranan agensi PBB juga penting untuk menjamin keselamatan petugas kemanusiaan yang dapat menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza yang sangat memerlukan.
Abdulaziz menekankan supaya Israel menghormati undang-undang kemanusiaan dan undang hak asasi manusia antarabangsa supaya perang dapat ditamatkan dengan kadar segera.