Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) mengumumkan mereka berpisah dengan ketua jurulatih skuad kebangsaan negara tersebut iaitu Roberto Mancini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak selepas pasukan kebangsaan menampilkan prestasi yang kurang baik sejak dibimbing oleh pengendali kelahiran Itali itu.
Baca Juga:
- Zinedine Zidane Calon Jurulatih Arab Saudi Ganti Roberto Mancini
- Prestasi Merudum, Roberto Mancini Salahkan Kelab Arab Saudi
- Roberto Mancini Beri Sebab Mengapa Arab Saudi Hanya Mampu Seri Dengan Indonesia
Mancini, yang mengambil alih tugas sebagai pengendali Arab Saudi pada Ogos 2023 dengan kontrak empat tahun ditetapkan sehingga 2027, bergelut untuk memenuhi jangkaan yang diletakkan ke atas dirinya.
— مجلس إدارة الاتحاد السعودي لكرة القدم ومدرب المنتخب الوطني "روبرتو مانشيني"، يتوصلون اليوم لاتفاق مشترك يتضمن انتهاء العلاقة التعاقدية 📝⬇ pic.twitter.com/tVfVCGpvVi
— المنتخب السعودي (@SaudiNT) October 24, 2024
Di bawah kepimpinannya, pasukan itu hanya berjaya meraih satu kemenangan dalam empat perlawanan dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026. Prestasi hambar ini mendorong SAFF membuat keputusan sukar untuk menamatkan kontraknya lebih awal.
Rekod Mancini bersama Saudi terdiri daripada 15 perlawanan, di mana pasukan itu mencatat tujuh kemenangan, lima keputusan seri dan tewas dalam tiga perlawanan. Ini menghasilkan peratusan kemenangan sebanyak 46.67%, jauh di bawah jangkaan yang ditetapkan.
Meskipun meraih beberapa gelaran ketika di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan UEFA Euro 2020 ketika membimbing Itali, namun Roberto Mancini gagal untuk mengulangi kejayaan sama ketika bersama Saudi.
Pengendali berusia 59 tahun itu menyalahkan kelab yang beraksi dalam saingan liga Saudi yang gagal untuk memberikan minit bermain kepada pemain skuad kebangsaan sekaligus menjadi punca pasukan itu gagal untuk menyinar.
“Tiga tahun lalu, pemain Saudi bermain dalam setiap perlawanan liga. Hari ini, 50 hingga 60 peratus daripada mereka tidak bermain. Ini adalah masalah pertama, satu-satunya masalah yang kita hadapi dengan liga ini.
“Sangat penting untuk pemain ini beraksi secara konsisten,” katanya.
Antara pemain bintang yang beraksi di Liga Arab Saudi ketika ini ialah Cristiano Ronaldo, Neymar, Karim Benzema, Fabinho, N’golo Kante, Riyadh Mahrez, Roberto Firmino dan Sadio Mané.
Kehadiran pemain bintang menyebabkan pemain tempatan ditolak keluar dari kesebelasan utama dan hanya memanaskan bangku simpanan dalam kebanyakan perlawanan liga.