Ketua jurulatih skuad kebangsaan Arab Saudi, Roberto Mancini menyalahkan kelab yang beraksi dalam saingan Liga Arab atas penurunan prestasi pasukan negara itu.

Menurut pengendali kelahiran Itali itu, pemain Arab Saudi sebelum ini beraksi setiap minggu dalam saingan liga sekaligus mendapat minit permainan yang cukup dan menyumbang kepada pasukan kebangsaan.

Baca Juga:

Akan tetapi, dengan kebanjiran pemain bertaraf bintang yang dibawa masuk sejak kebelakangan ini, pemain tempatan jarang diturunkan dan memberi kesan kepada pasukan negara itu.

“Tiga tahun lalu, pemain Saudi bermain dalam setiap perlawanan liga. Hari ini, 50 hingga 60 peratus daripada mereka tidak bermain. Ini adalah masalah pertama, satu-satunya masalah yang kita hadapi dengan liga ini.

“Sangat penting untuk pemain ini beraksi secara konsisten,” katanya.

Baru-baru ini, Arab Saudi tewas 2-0 ketika berdepan Jepun dalam aksi kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2026 sekaligus meningkatkan lagi tekanan yang dihadapi oleh Roberto Mancini.

Antara pemain bintang yang beraksi di Liga Arab Saudi ketika ini ialah Cristiano Ronaldo, Neymar, Karim Benzema, Fabinho, N’golo Kante, Riyadh Mahrez, Roberto Firmino dan Sadio Mané.

Kehadiran pemain bintang menyebabkan pemain tempatan ditolak keluar dari kesebelasan utama dan hanya memanaskan bangku simpanan dalam kebanyakan perlawanan liga.

Pada aksi pembukaan kempen kelayakan kali ini, Saudi hanya mampu seri ketika berdepan Indonesia dengan keputusan 1-1 namun mereka berjaya bangkit pada aksi kedua apabila menewaskan China dengan keputusan 2-1.

Selepas ini, Arab Saudi akan turun berdepan Bahrain yang awal pagi tadi mencatat keputusan seri ketika berdepan Indonesia.

Dalam perlawanan yang penuh kontroversi itu, Mohamed Marhoon menjadi wira Bahrain apabila menjaringkan dua gol manakala jaringan Indonesia dihasilkan oleh Ragnar Oratmangoen dan Rafael Struick.