Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi atas pendiriannya yang tidak mahu membina hubungan dengan Israel tanpa kemerdekaan diberikan kepada Palestin, lapor Reuters.

Presiden PA Mahmoud Abbas mengalu-alukan pendirian kerajaan Saudi bahawa ia tidak akan menyambung semula hubungan diplomatik dengan Israel tanpa penubuhan negara Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza, lapor Wafa.

Artikel Berkaitan:

Ini berlaku selepas Kementerian Luar Arab Saudi menggariskan “kedudukan kukuh” dalam satu kenyataan hari ini, dua hari selepas Setiausaha Negara AS Blinken bertemu Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman.

Sebelum ini, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) merakamkan penghargaan kepada Arab Saudi atas pendiriannya dalam menjalinkan hubungan dengan Israel.

“Kami berterima kasih kepada Arab Saudi atas pendirian tegas dan usahanya untuk membela rakyat Palestin dan perjuangan mereka,” kata Setiausaha Agung PLO Hussein al-Sheikh dalam catatan di X.

Sebelum ini, Arab Saudi memberitahu Amerika Syarikat bahawa ia tidak akan membuka ruang bagi hubungan diplomatik dengan Israel melainkan negara Palestin diberikan kemerdekaan dan diiktiraf berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Kenyataan itu menambah bahawa “pencerobohan Israel” terhadap Semenanjung Gaza juga mesti dihentikan dan tentera Israel mesti berundur dari wilayah itu.

Amerika Syarikat telah memimpin diplomasi selama berbulan-bulan untuk meminta Arab Saudi membina hubungan dengan Israel dan mengiktiraf negara itu sehingga perang Gaza bermula pada Oktober lalu, menyebabkan Riyadh mengetepikan isu itu kerana kemarahan Arab terhadap serangan Israel.

Sumber