Pertembungan Argentina dan England awal pagi esok pastinya menjanjikan aksi menarik dan penuh nostalgia melibatkan kedua-dua pasukan.

Daripada insiden ‘Hand of God’ mendiang Diego Maradona pada suku akhir edisi 1986 hingga kad merah David Beckham pada pusingan 16 Piala Dunia 1998, sejarah pertemuan kedua-dua gergasi itu sentiasa diiringi kontroversi, emosi dan drama yang kekal terpahat dalam lipatan sejarah bola sepak dunia.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di pentas Piala Dunia adalah pada edisi 2002 di Korea Selatan dan Jepun yang menyaksikan England meraih kemenangan tipis 1-0 hasil sepakan penalti David Beckham, sekali gus membalas kekecewaan empat tahun sebelumnya.

Kini, selepas 24 tahun, kedua-dua musuh tradisi itu sekali lagi dipertemukan di pentas terbesar dunia dengan tiket ke final Piala Dunia 2026 menjadi pertaruhan.

Argentina vs England: Bab Baharu Rivaliti Lama Menuju Pentas Final
Kredit Foto: PATRICIA DE MELO MOREIRA / AFP

Perlawanan Sulung Bertemu England Buat Messi

Bagi Lionel Messi pula, perlawanan ini turut membawa makna yang cukup istimewa. Walaupun memiliki karier antarabangsa yang cukup gemilang melebihi dua dekad, bintang berusia 39 tahun itu tidak pernah berdepan England di peringkat senior.

Perjalanan Messi bersama skuad senior Argentina bermula pada usia 18 tahun pada 2005 selepas membantu negaranya menjuarai Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA. Beliau membuat penampilan sulung di bawah kendalian Jose Pekerman ketika menentang Hungary.

Namun, penampilan sulung itu bermula dengan penuh dramatik apabila Messi dilayangkan kad merah hanya 90 saat selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

Penggantungan susulan insiden itu menyaksikannya terlepas aksi persahabatan menentang England pada tahun sama dan memandangkan kedua-dua negara tidak pernah bertemu selepas itu, aksi separuh akhir awal pagi esok bakal menjadi penampilan sulungnya menentang The Three Lions.

“Bagi saya, saya sudah berdepan hampir semua pasukan kecuali England. Ia cukup istimewa kerana mereka adalah sebuah negara besar dan kuasa bola sepak dunia.”

“Sentiasa menyeronokkan untuk menentang pasukan seperti itu, lebih-lebih lagi dalam aksi separuh akhir Piala Dunia,” ujar Messi menurut sumber laporan beIN Sports.

Messi
Kredit Foto: Paul ELLIS / AFP

Kisah Legenda Pertembungan Argentina Dan England

Sejarah antara kedua-dua negara telah berlangsung selama beberapa dekad dengan beberapa pertemuan di Piala Dunia menjadi sebahagian daripada kisah legenda bola sepak.

Persaingan antara mereka semakin memuncak pada Piala Dunia 1966 apabila kapten Argentina, Antonio Rattin dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil dalam aksi suku akhir.

Beliau enggan meninggalkan padang serta-merta, sebaliknya duduk di atas karpet merah di dalam Stadium Wembley sebelum akhirnya beredar.

Sementara itu, pengurus England ketika itu, Alf Ramsey kemudiannya mengkritik tindakan pemain Argentina dan mengarahkan anak buahnya supaya tidak bertukar jersi selepas tamat perlawanan.

Dua puluh tahun kemudian, hadir pertemuan yang mungkin dianggap sebagai detik paling ikonik dalam persaingan kedua-dua negara.

Dalam aksi suku akhir Piala Dunia 1986, yang berlangsung empat tahun selepas Perang Falkland, Diego Maradona menjaringkan gol kontroversi  ‘Hand of God’ sebelum menghasilkan aksi solo memukau yang sering dianggap antara gol terhebat dalam sejarah Piala Dunia ketika Argentina melangkah ke separuh akhir.

Kedua-dua negara kembali bertemu pada pusingan 16 Piala Dunia 1998, dalam satu lagi perlawanan kalah mati yang penuh sengit. Argentina akhirnya mara menerusi penentuan penalti selepas pemain tengah England, David Beckham dilayangkan kad merah kerana menendang Diego Simeone.

Argentina sering memiliki kelebihan dalam pertemuan Piala Dunia paling penting antara kedua-dua pasukan, namun England kini berpeluang mencipta naratif baharu dalam sejarah persaingan yang penuh drama ini.

England
Kredit Foto: PATRICIA DE MELO MOREIRA / AFP

Messi pula terus mengukuhkan legasi luar biasanya di pentas Piala Dunia. Menjelang aksi separuh akhir, beliau sudah meledakkan 21 gol dalam rekod 32 penampilan di kejohanan itu, satu gol lebih berbanding kapten Perancis, Kylian Mbappe.

Walaupun Messi gagal mencetak gol ketika aksi suku akhir menentang Switzerland, Julian Alvarez dan rakan sepasukannya pula memastikan Argentina hanya selangkah lagi untuk kembali ke pentas final.

Kemenangan ke atas England akan membawa Argentina ke final Piala Dunia buat kali ketiga dalam empat edisi terakhir, ketika mereka memburu kejuaraan berturut-turut. Sesuatu yang belum pernah dicapai mana-mana negara sejak Brazil berjaya mempertahankan trofi pada 1962.

Manakala England pula mengintai peluang untuk menamatkan penantian panjang dimana pertama dan terakhir mereka menjulang piala adalah pada 1966, lebih tepat 60 tahun lalu.