Argentina terpaksa mengharungi 120 minit permainan untuk melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas menundukkan Switzerland 3-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Arrowhead Stadium, Kansas City sebentar tadi.

Kemenangan yang memastikan pertemuan juara bertahan itu dengan England pada aksi separuh akhir nanti.

Misi Argentina Diteruskan

Argentina tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Alexis Mac Allister menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru diambil Messi untuk memisahkan kedua-dua pasukan pada minit ke-10.

Aksi kemudiannya tidak seperti diharapkan buat anak buah Lionel Scaloni apabila Switzerland dilihat lebih menguasai permainan.

Bagaimanapun tidak serangan berbahaya dapat dilancarkan untuk kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Aksi di babak kedua lebih menarik untuk disaksikan terutamanya Switzerland yang bernafsu untuk mendapatkan jaringan penyamaan walaupun Argentina menguasai kembali permainan.

Usaha mereka pada minit ke-60 digagalkan Emiliano Martinez yang mudah menangkap kemas tandukan penyerang Breel Embolo dalam kawasan penalti.

Argentina
Kredit Foto: CHANDAN KHANNA / AFP

Martinez kemudiannya cemerlang menggagalkan tandukan Dan Ndoye pada minit ke-65 dan rembatan luar kawasan penalti oleh Granit Xhaka pada minit ke-66.

Kehampaan itu bagaimanapun berjaya ditebus Ndoye berselang seminit kemudian selepas gerakan yang dimulakan pemain sayap itu di sebelah kanan pintu gol Argentina disudahkannya dengan baik untuk menewaskan Martinez bagi kembali mengikat kedudukan.

Ketika Switzerland bersemangat untuk terus memburu jaringan, mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Embolo diperintahkan keluar padang kerana menerima kad kuning kedua.

Pada mulanya Leandro Paredes dilayangkan kad kuning kerana mengasari penyerang tersebut, namun rujukan Video Assistant Referee (VAR) mengesan Embolo melakukan simulasi. Keadaan yang memaksa beliau dilayangkan kad kuning kedua dan perlu meninggalkan padang dan kad kuning Paredes ditarik semula.

Atasi Switzerland 3-1, Argentina Ke Separuh Akhir
Kredit Foto: CHARLY TRIBALLEAU / AFP

Kekurangan seorang pemain jelas menjadi masalah buat skuad kendalian Murat Yakin itu yang terpaksa bertahan bermula minit ke-73. Namun, Switzerland bertahan dengan baik untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Kekentalan itu tidak mampu bertahan lama selepas Julian Alvarez meledakkan jaringan kedua buat Argentina hasil percubaan dari luar kawasan penalti pada minit ke-112 melencong masuk ke gawang Switzerland.

Tidak cukup dengan itu, Lautaro Martinez menjadikan kedudukan 3-1 pada masa kecederaan untuk mematikan api perjuangan Switzerland pada perlawanan ini.