Penyerang skuad kebangsaan, Arif Aiman Hanapi tekad buktikan kualiti pemain tempatan mampu menandingi pemain import ketika menentang BG Pathum United pada aksi terakhir saingan peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) jam 6 petang ini.

Walaupun aksi berkenaan tidak memberi sebarang erti kepada kedua-dua pasukan yang sudah tersingkir daripada pusingan 16 terbaik, tetapi perlawanan itu tetap penting bagi menjaga maruah JDT.

Baca Juga:

“Saya mahu membuktikan bahawa pemain tempatan di Malaysia mampu berdaya saing di peringkat Asia, setanding dengan pemain import dalam pasukan.

“Saya mahu terus melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Saya percaya dan yakin pasukan kami mahu mendapatkan kemenangan menentang BG Pathum,” tegasnya dalam sidang media.

Ketika perlawanan pertama di Bangkok, Arif Aiman mempamerkan aksi memukau apabila menjaringkan dua gol untuk membantu JDT menewaskan BG Pathum 4-2.

Ditanya mengenai sama ada dia memasang impian untuk beraksi di luar negara, Arif berkata beliau mahu memperkemaskan corak permainan dahulu sebelum memikirkan tawaran lain.

“Saya lebih mengutamakan untuk meningkatkan lagi corak permainan berbanding memikirkan beraksi di luar negara kerana sebagai pemain tempatan peluang beraksi di saingan ACL adalah pentas terbaik untuk memperkemaskan lagi mutu dan kualiti permainan.

“Jika kita bagus di pentas ACL maka kita mampu menyamai kualiti pemain-pemain yang beraksi di pentas ACL kerana tiada guna bermain di kancah Asia tapi kualiti yang kita persembahkan begitu rendah dan tidak mencapai piawaian,” kata Arif.