Pemain sayap negara, Arif Aiman tersenarai dalam bintang untuk masa hadapan yang dikeluarkan selepas temasya Piala Asia 2023 melabuhkan tirainya baru-baru ini.

Pihak penganjur mengeluarkan senarai pemain muda yang menampilkan prestasi cemerlang dalam temasya edisi kali ini dan persembahan yang ditampilkan oleh Arif nyata menarik perhatian mereka.

Baca Juga:

Menerusi laman media sosial, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memuat naik video yang menunjukkan persembahan Arif sepanjang tiga perlawanan kumpulan E menentang Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

“Persembahan cemerlang dari pemain muda Malaysia, memberikan magis di atas padang,” kata AFC.

Arif menjaringkan satu gol bagi pasukan negara lebih tepatnya ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Korea Selatan.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti sekaligus membantu pasukan negara mengutip satu mata selepas mengikat Korea dengan keputusan 3-3.

Malah, ada peminat bola sepak dari Korea Selatan telah memuat naik satu video menarik di laman Youtube untuk menjelaskan kenapa Liga UAE adalah destinasi yang sesuai untuk Arif Aiman.

Video itu dimuat naik sejak 6 bulan lepas, namun ia masih menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan penyokong Korea Selatan selepas aksi Harimau Malaya mengikat pasukan negara mereka.

Menurut penjelasan dalam video Hanguk-ASEAN Football Channel, mereka berpendapat Arif Aiman tidak sesuai beraksi di Liga Korea disebabkan oleh beberapa faktor.

“Liga Pro UAE tidak begitu kuat berbanding Liga Korea dan Liga Jepun, tetapi mereka berada di ranking ke-6 dalam senarai AFC. Malah, terdapat tiga kelab UAE beraksi di ACL.

“Lebih-lebih lagi AL Ain merupakan finalist ACL pada tahun 2016. Walaupun Liga Malaysia berkembang sekarang, namun masih belum sekuat Liga Pro UAE.

“Saya fikir pergi ke Liga Pro UAE adalah tempat yang cukup kompetitif untuk Arif Aiman belajar dan membesar.

“Liga Pro UAE kurang kekerasan dalam perlawanan. Ini bagus untuk Arif menunjukkan kemahirannya. Ramai pemain ASEAN gagal bertahan dalam liga asing kerana kekuatan fizikal mereka lemah.

“Terutamanya, Liga Korea terkenal dengan asakan yang sukar. Sebaliknya, banyak liga Timur Tengah termasuk Liga Pro UAE tidak melakukan terjahan begitu kuat (mungkin kerana cuaca panas).