Bekas pemain perseorangan lelaki negara yang kini bergelar jurulatih, Mohamad Arif Abdul Latif menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya berhubung isu penipuan wang bernilai kira-kira CA$70,000 (RM213,614.34).
Apa masalah sebenar melibatkan Arif Latif?
Perkara tersebut tular di media sosial selepas satu pendedahan dibuat yang mengatakan Arif bersama Muhammad Khaliq dari Indonesia telah meminta yuran kejurulatihan selama setahun daripada anak didiknya di Kanada.

Baca Juga:
- Ini Senarai Jurulatih Badminton Malaysia Yang Sedang Berbakti Di Luar Negara
- Ini 4 Jurulatih Badminton Tempatan Yang Tolak Tawaran BAM Untuk Gantikan Tan Bin Shen
- Wong Choong Hann Panggil ‘Trio Malaysia’ Perkuatkan Barisan Kejurulatihan Badminton Hong Kong
Malah, kedua-dua individu tersebut dikatakan turut meminjam wang daripada pemilik kelab bernilai CA$10,000 hingga CA$20,000 dan kemudiannya mereka memilih untuk melarikan diri.

Dalam pada itu menurut kenyataan yang dikeluarkan, Arif didakwa melarikan CA$70,000 manakala Khaliq pula dalam CA$30,000 hingga CA$40,000.
Akaun yang menamakan dirinya sebagai ‘Baggiboogi’ itu turut mendakwa pemilik kelab menyedari bahawa Arif turut terlibat dengan perjudian.
Sehubungan dengan itu, dia merasakan amat sukar buat mereka untuk mendapatkan semula wang tersebut, tambahan pula Arif dan Khaliq kini sudah tiada di Kanada.

Arif Latif tampil nafikan terlibat dengan perkara tersebut
Tidak mahu namanya terus dipalit dengan permasalahan tersebut, Arif yang pernah bersaing dengan Chen Long ketika peringkat remaja tampil menceritakan perkara sebenar bagi pihaknya.
Menurut sumber laporan eksklusif daripada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari dan laman Stadium Astro, Arif mengatakan dirinya telah dieksploitasi oleh pihak lain di sana.
“Ini semua salah faham. Ada beberapa jurulatih dari Kanada yang menggunakan nama saya dalam hal ini. Kemudiannya ada salah faham antara saya dan kelab lama itu.”
“Namun, ia telah disalah tafsir oleh pihak di sana. Terdapat jurulatih yang iri hati dengan reputasi saya ketika di sana.”
“Ketika ini saya dalam usaha untuk menangkis situasi ini dengan khidmat guaman di sana dan masih lagi dalam proses untuk mengumpul bukti.”

“Ramai yang mahu menyertai sesi latihan saya dan pemain-pemain dah mula menampakkan peningkatan itu, lantas ia telah mencetuskan perasaan kurang senang daripada barisan jurulatih di Kanada yang cuba untuk menikam saya dari belakang hingga mencetuskan perkara ini.”
“Buat masa ini, saya tidak kisah apa yang mereka katakan. Keinginan saya adalah berusaha untuk meningkatkan mutu pemain di bawah kendalian saya.”
“Kanada masih lagi baru dalam sukan badminton dan itu menjadi misi saya untuk melahirkan pemain yang mampu beraksi di peringkat antarabangsa.”
Dalam perkembangan sama, anak kelahiran Negeri Sembilan itu mengakui dalam usaha untuk membersihkan namanya dan menganggap ia sebagai iktibar dalam karier kejurulatihannya.