Kisah pengadil Somalia, Omar Artan, mencuri perhatian selepas beliau yang sebelum ini berdepan masalah imigresen di Amerika Syarikat (AS), kini diberi kepercayaan mengadili perlawanan UEFA Super Cup antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Aston Villa di Salzburg, Austria.

Artan dilaporkan tiba di Salzburg bagi persiapan mengendalikan perlawanan membabitkan juara Eropah, PSG, dan Aston Villa.

Pelantikan itu hadir selepas Artan sebelum ini berdepan pengalaman kurang menyenangkan ketika berada di AS beberapa bulan lalu.

Beliau pernah ditahan selama beberapa jam di sebuah lapangan terbang dan disoal siasat pegawai keselamatan AS sebelum dihantar pulang dari negara AS.

Menurut laporan, pihak berkuasa AS mengesyaki Artan mempunyai kaitan dengan sebuah organisasi yang diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas.

Bagaimanapun, Artan menafikan sebarang kaitan dengan organisasi berkenaan.

“Saya hanya datang untuk mengadili perlawanan Piala Dunia, seperti mana telah diamanahkan. Namun bukan rezeki saya,” katanya ketika mengulas kejadian berkenaan.

FIFA sebelum ini mengambil pendirian bahawa badan induk bola sepak dunia itu tidak boleh campur tangan dalam isu keselamatan dan imigresen yang berada di bawah bidang kuasa sesebuah negara.

Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak menghalang perkembangan kerjaya Artan di pentas antarabangsa.

https://twitter.com/UEFA/status/2086866623672058196/video/1

Beliau dianggap antara pengadil terbaik di Afrika dan memenangi anugerah Pengadil Terbaik Afrika 2025.

Artan juga disenaraikan sebagai antara pengadil yang layak mengendalikan perlawanan pada Piala Dunia 2026.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam karier pengadil berusia 30 tahun berkenaan.

Daripada berdepan masalah imigresen di AS, Artan kini berada di Eropah untuk menjalankan tugas rasmi dalam salah satu perlawanan berprestij UEFA.

Kisah Artan turut menjadi gambaran bagaimana satu kemunduran tidak semestinya menamatkan perjalanan seseorang dalam kariernya.

Apa yang berlaku di AS tidak menghalangnya daripada terus mendapat kepercayaan badan bola sepak antarabangsa dan mencipta nama sebagai antara pengadil terkemuka dari Afrika.