Buat kali pertama, AstraZeneca (AZ)` mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin COVID boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Memetik portal Telegraph, gergasi farmaseutikal itu sedang disaman dalam tindakan kelas atas dakwaan bahawa vaksinnya, yang dibangunkan bersama Universiti Oxford, menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam berpuluh-puluh kes.

Baca Juga:

Peguam berhujah bahawa vaksin menghasilkan kesan sampingan yang telah memberi kesan buruk kepada sebilangan kecil keluarga.

Kes pertama dilaporkan tahun lepas oleh Jamie Scott, bapa kepada dua anak, yang mengalami kecederaan otak kekal selepas mengalami pembekuan darah dan pendarahan di otak yang menghalangnya daripada bekerja selepas menerima vaksin pada April 2021. Pihak hospital menghubungi isterinya tiga kali untuk memberitahu bahawa suaminya akan meninggal dunia.

AstraZeneca membantah tuntutan itu, namun memberi maklum balas berbeza selepas itu. Dalam dokumen undang-undang yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari, AstraZeneca menyatakan vaksin COVID-19 miliknya —

“Adalah diakui bahawa vaksin AZ boleh — dalam kes yang sangat jarang berlaku — menyebabkan TTS. Mekanisme penyebab tidak diketahui.

“Selanjutnya, TTS juga boleh berlaku jika tiada vaksin AZ (atau mana-mana vaksin). Penyebab dalam mana-mana kes individu akan menjadi perkara untuk dibukti pakar.”

TTS adalah Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome, satu penyakit yang menyebabkan orang ramai mengalami pembekuan darah dan kiraan platelet darah rendah.

51 kes telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi oleh mangsa dan saudara mara yang menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM477.37 juta).

Para saintis mula-mula mengenal pasti hubungan antara vaksin dan penyakit baharu yang dikenali sebagai TTS yang disebabkan oleh vaksin (VITT) seawal Mac 2021, sejurus selepas pelancaran vaksin COVID-19.

Sumber