Bekas penyerang import pasukan Selangor, Ayron Del Valle kini bergelar ejen bebas dimana beliau dilaporkan sudah meninggalkan kelab Bolivia iaitu Always Ready FC.

Menurut perkongsian pemerhati sukan luar negara, Mariano Olsen memaklumkan bahawa penyerang itu membuat keputusan untuk menamatkan kontrak bersama Always Ready selepas hampir lima bulan berkhidmat selepas meninggalkan skuad Gergasi Merah.

Baca Juga:

“Ayron Del Valle baru sahaja menamatkan kontraknya dengan Always Ready. Penyerang berusia 35 tahun itu bermain dalam 21 perlawanan dan menjaringkan empat gol untuk kelab Bolivia itu. Kini dia bebas untuk menyertai mana-mana pasukan,” tulis pemerhati sukan berkenaan di laman X.

Musim lalu, ketika beraksi bersama Selangor Ayron muncul penjaring terbanyak saingan Liga Super dengan 23 gol, dua gol dihadapan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dengan 21 jaringan.

Prestasi cemerlang Ayron ditambah dengan persefahaman yang baik antara beliau dengan beberapa pemain lain seperti Faisal Halim dan Yohandry Orozco berjaya membantu skuad Gergasi Merah menamatkan saingan liga di tangga kedua sekaligus layak untuk beraksi di saingan AFC Champions League (ACL) 2 musim ini.

Meskipun muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super, pemain kelahiran Colombia itu memutuskan untuk meninggalkan pasukan dan menyertai Always Ready pada awal tahun ini.

Memandangkan beliau mempunyai pengalaman dalam saingan Liga Super, tidak mustahil akan ada kelab yang cuba mendapatkan khidmatnya bagi memperkuatkan jentera serangan.