Berita buruk bagi skuad Harimau Malaya B-23 Tahun apabila pemain pertahanan, Azam Azmi Murad hampir pasti terlepas saingan Piala Asia B-23 Tahun yang bakal berlangsung pada 15 April hingga 3 Mei ini.
Ini kerana pemain Terengganu itu mengalami kecederaan ketika beraksi bersama skuad senior menentang Oman dalam perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.
Baca Juga:
- Kim Pan-gon Akui Malaysia Perlu Keajaiban Untuk Layak Ke Piala Dunia 2026
- Peminat Lancarkan Petisyen Gesa Hans Isaac Letak Jawatan
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Oman Terus Kecewakan Malaysia
Menurut ketua jurulatih pasukan iaitu Kim Pan-gon, Azam mengalami kecederaan serius dan beliau mungkin terlepas aksi bersama skuad bimbingan Juan Torres Garrido.
Azam Azmi Murad bertongkat akibat kecederaan, dijangka terlepas Piala Asia B23 Qatar. @ASTROARENA pic.twitter.com/DSTfdfxeQJ
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) March 26, 2024
“Saya rasa kecederaan Azam Azmi serius dan mungkin memberi kesan kepada peluangnya untuk beraksi di Piala Asia B-23,” kata Pan-gon.
Setelah mengalami kecederaan, pemain berusia 23 tahun itu dikeluarkan pada separuh masa pertama dan digantikan dengan Daniel Ting.
Azam terpaksa menggunakan tongkat ketika mahu meninggalkan stadium selepas perlawanan dan perkara ini bukanlah satu berita baik bagi skuad B-23 tahun negara.
Pada perlawanan semalam, hajat untuk melihat Malaysia bangkit daripada kekalahan minggu lalu tidak kesampaian selepas tewas dengan keputusan 0-2 di tangan Oman.
Dengan kekalahan kedua berturut-turut yang dialami, skuad negara kini menghuni tangga ketiga dengan enam mata manakala Oman ditangga kedua hasil sembilan mata diperolehi.
Omar Al-Malki yang ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti tidak berdepan masalah untuk menamatkan aksi babak pertama dengan kelebihan 1-0 buat pasukan pelawat.
Oman berpeluang untuk menambah jaringan kedua tetapi percubaan leret Salaah Al-Yahyaei sekadar singgah di tiang gol dan Cools mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Beberapa pertukaran dilakukan Kim Pan-gon dalam usaha memburu jaringan penyamaan dengan memasukkan Endrick Dos Santos, Brendan Gan, Paulo Josue dan Akhyar Rashid masih gagal untuk membuahkan hasil.
Sebaliknya, Oman yang hadir sekali sekala dengan serangan balas pantas dilihat lebih memberikan ancaman ke kubu Malaysia dan berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-94 hasil gol Mohammad Al Ghafri.
Malaysia kini menduduki tangga ketiga dalam carta kumpulan D dengan 6 mata manakala Oman dan Kyrgyzstan terikat dengan 9 mata.