Pasangan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024, sebentar tadi.

Bekas juara dunia itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menghampakan wakil tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi menerusi kemenangan ‘straight set’.

Baca Juga:

Berdepan lawan yang mendapat sorakan padu penyokong sendiri di Ningbo langsung tidak menggentarkan anak buah Tan Bing Shen itu.

Aaron dan Wooi Yik yang kini menghuni ranking kelima dunia mempamerkan corak permainan bertahan dengan cukup baik dan serangan pantas mereka jelas memerangkap Yu Chen-Xuan Yi.

Keadaan itu membolehkan mereka memenangi set pertama dengan jurang mata 21-14 sekali gus meningkatkan moral bagi menghadapi set kedua.

Kemenangan penting itu disahkan oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-15 untuk memastikan tempat ke pusingan empat terbaik.

Ia merupakan kemenangan keempat Aaron-Wooi Yik ke atas Yu Chen-Xuan Yi dalam lapan pertemuan sesama mereka di pentas antarabangsa sejak 2022.

Kali terakhir bertemu adalah ketika suku akhir Terbuka India 2023 yang menyaksikan Aaron dan Wooi Yik mencatatkan kemenangan.

Menanti Aaron dan Wooi Yik di separuh akhir esok adalah pemenang antara satu lagi wakil negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Chinese Taipei.

Sementara itu satu lagi harapan Malaysia dalam saingan Badminton Asia 2024 disandarkan kepada Lee Zii Jia yang akan bertemu Jonatan Christie dijangka pada 5.10 petang nanti.