Pasangan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik seperti diketahui menikmati musim 2025 yang cukup memberangsangkan dalam karier mereka.
Menghuni ranking kedua dunia pada ketika ini, gandingan yang dua kali mengecap nikmat selaku pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu berjaya menjuarai tiga kejohanan dan dua kali muncul naib juara.
Baca Juga:
- Aaron Chia-Soh Wooi Yik Ke Final Terbuka China 2025

- Ini Jumlah Wang Tunai Dimenangi Aaron Chia-Soh Wooi Yik Selepas Nikmati Empat Final Pada 2025

- Serap Tekanan Dengan Baik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik Muncul Juara Terbuka Singapura 2025

Anak kelahiran Melaka dan Kuala Lumpur itu bermula dengan kejayaan cemerlang muncul juara Kejohanan Asia di Ningbo, China yang setaraf dengan kejohanan dibawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berstatus Super 1000.
Mereka kemudiannya menggungguli Terbuka Thailand (Super 500) dan muncul naib juara Malaysia Masters (Super 500) selepas tewas kepada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Prestasi baik itu tidak terhenti di Kuala Lumpur apabila seminggu kemudian, Aaron dan Wooi Yik menjuarai Terbuka Singapura (Super 750) hasil kejayaan menundukkan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.
Berehat hampir sebulan selepas tumbang awal di Terbuka Indonesia, Aaron-Wooi Yik turut tersingkir awal di Terbuka Jepun.
Namun, mereka kembali tampil dengan bertenaga untuk mara ke final Terbuka China (Super 1000) tetapi tewas di pentas final di tangan pasangan baharu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.
Dengan pencapaian menarik itu, Aaron-Wooi Yik bukan sahaja mengukuhkan status mereka sebagai salah satu beregu yang konsisten pada ketika ini, malah turut membawa pulang jumlah wang tunai kemenangan cukup lumayan.

Pecahan Hadiah Wang Tunai Diterima Aaron-Wooi Yik
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Aaron-Wooi Yik sudah menerima $157,298.75 hadiah wang tunai terkumpul sehingga kejayaan mereka menjuarai Terbuka Singapura.
Oleh itu, dengan kejayaan muncul naib juara Terbuka China 2025 tempoh hari menyaksikan Aaron-Wooi Yik membawa pulang tambahan $56,000 (selepas 20 peratus cukai dikenakan kepada jumlah asal $70,000).
Ini bermakna mereka telah menambah jumlah kemenangan selepas ditolak cukai kepada $213,298.75 yang bersamaan dengan tukaran terkini iaitu RM912,670.83.
Ia tidak termasuk wang tunai diterima selepas kemaraan mereka ke pentas separuh akhir Terbuka India (Super 750) dan Indonesia Masters (Super 500) serta kejohanan-kejohanan lain.
Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk ‘menyibuk’ dengan hadiah yang dimenangi oleh Aaron-Wooi Yik.
Tetapi, ia mampu menjadi inspirasi buat atlet muda tanpa mengira apa juga sukan bahawa dengan kerja keras, disiplin dan fokus mampu membawa pulangan yang bukan sahaja membanggakan negara tetapi juga menjamin masa depan mereka sendiri.
- * Cukai Dikenakan
- 1) Kejohanan Asia – 20%
- 2) Terbuka Thailand – 5%
- 3) Terbuka China – 20%
- Malaysia Masters dan Terbuka Singapura tiada cukai dikenakan terhadap wang tunai kemenangan.