Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus beraksi cemerlang untuk menempah slot ke pentas final kejohanan badminton All England 2026.

Kejayaan ke final itu hadir selepas pasangan ranking kedua dunia tersebut menundukkan wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi dalam aksi ‘straight set’ yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.

Berkelebihan 3-1 dalam rekod pertemuan sesama mereka menyaksikan Aaron dan Wooi Yik tampil dengan cukup bertenaga pada set pertama.

Terbuka Hong Kong
Kredit Foto: Bertrand GUAY / AFP

Aaron-Wooi Yik Cemerlang

Selepas mendahului 11-7 pada rehat ‘interval’, juara dunia 2022 itu tidak memberikan ruang buat Bo Yang-Liu Yi untuk menang 21-11.

Skrip berbeza bagaimanapun disaksikan pada set kedua apabila Bo Yang dan Liu Yi pula lebih mendominasi permainan.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka memegang kelebihan selesa 18-13 pada lewat permainan. Namun, Aaron-Wooi Yik tidak mudah menyerah dan kemudiannya bangkit dengan hebat.

Lima mata berturut-turut diraih untuk mengikat kedudukan 18-18 dan mereka tidak memandang ke belakang lagi dengan tambahan tiga mata bagi memastikan slot ke final menjadi milik Malaysia.

Ia merupakan kemaraan ketiga buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pentas final All England dimana sebelum ini mereka tewas ditangan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada edisi 2019 manakala edisi 2024 pula kecewa ketika bertemu satu lagi pasangan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Mereka akan berdepan pemenang antara Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan dan pasangan muda Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin.

Sementara itu hajat untuk menyaksikan satu lagi pasangan negara ke final tidak kesampaian selepas Pearly Tan-M. Thinaah tewas kepada Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan 17-21, 18-21 dalam aksi yang berlangsung lebih awal.