Ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Rasali meletakkan harapan tinggi terhadap 6 pemain import pasukan untuk beri impak postif bersama-sama pemain tempatan lain pada saingan Liga Super musim ini.

Berbanding musim lalu dengan 9 pemain import, Badrul menyifatkan jumlah kali ini lebih realistik apabila mereka hanya mempertaruhkan 6 import sahaja sambil berharap kualiti yang ada dapat membantu kelab untuk memberi tentangan sengit.

Baca Juga:

Ini kerana, beliau kurang berpuas hati dengan prestasi beberapa import pada musim lalu yang kurang menyerlah menyaksikan Terengganu tahun ini tampak lebih berani untuk memastikan kudrat pemain tempatan lebih ditagih berbanding import.

Badrul Afzan
Badrul Afzan. Kredit Foto: Terengganu FC

Badrul Afzan Tagih Sentuhan Berkualiti Pemain Import

“Musim lepas kita ada 9 pemain import, tapi musim ini nak pakai 6 orang sahaja, jadi sudah tentu saya harap mereka dapat membantu TFC dengan lebih cemerlang kali ini.”

“Sebab saya tengok sebelum ini beberapa pemain import kita yang ada kurang membantu, dan sebab itu saya mengharapkan mereka yang ada musim ini dapat bagi persembahan yang lebih membanggakan.”

“Tapi pemain tempatan kami juga tidak boleh dipandang rendah di mana saya akan terus bagi kepercayaan dan keyakinan kepada mereka untuk sama-sama membantu demi kejayaan pasukan,” jelasnya.

Badrul Afzan Harap Kualiti 6 Pemain Import Mampu Bantu Terengganu Beri Saingan
Careca mempamerkan aksi mantap pada perlawanan pra-musim. Kredit Foto: Terengganu FC

Lima import TFC setakat ini adalah Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan), Junior Ngong Sam (Cameroon), Yan Mabella (Perancis), Gabriel Costa (Brazil) dan Raianderson da Costa Morais (Careca) (Brazil) serta seorang lagi yang masih belum diumumkan.

Selain itu, Badrul Afzan mengakui pasukan turut terasa kehilangan dengan ketiadaan Safawi Rasid pada musim baharu ini, namun percaya kualiti yang ada pada pemain-pemain lain termasuklah Akhyar Rashid yang masih kekal bersama TFC.

“Sebenarnya lepas kita dah hilang Safawi, memang kita mengharapkan Akhyar untuk tahun ini dan nak tengok dia serta pemain-pemain lain dapat tunjukkan satu persembahan yang baik untuk bantu kelab.”

“Sebab musim ini, banyak pasukan lain yang nampaknya semakin bersedia seperti JDT, Selangor FC, Kuching City FC, Kuala Lumpur City FC serta Sabah FC yang pasti akan jadi pencabar hebat,” tambah Badrul Afzan lagi.