Saya keluar dari tempat ambil beg dan lekas-lekas ke tandas. Selesai semuanya, saya mencari kawan saya, si Imi yang masih belum-belum keluar dari situ. Sudah lebih 15 minit berdiri dan kelibatnya masih belum kelihatan, saya pun berjalan ke Periplus, kedai buku yang sinonim dengan lapangan terbang di Indonesia.
Saya membeli senaskah buku yang dikatakan best seller di Bali. Kemudian, terus ambil tempat di meja yang kosong.
Sudah ambil pesanan, dan saya membuka Ipad untuk menjawab email dan menyiapkan beberapa teks VVIP. Minuman pun sampai. Baru sahaja mahu menghirup Jus Alpukat, datang sepasang Mat Salleh yang mahu duduk bersama. Saya pun ok sahaja.
Yang lelaki hanya memakai singlet Billabong, dan yang wanita memakai skirt pink. Kedua-duanya tinggi lampai dan wajahnya putih kemerah-merahan.
“Mahu ke mana mas?” hahaha. Terkejut saya dibuatnya. Rupanya mereka boleh berbahasa Indonesia.
Saya pun beritahu yang saya sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Kami bersalaman dan bersembang beriya. Saya terus tutup Ipad dan leka bercakap dengan mereka.
Dua-dua manusia ini merupakan traveller tegar yang kini menetap di Bali. Yang lelaki Namanya Nelson dan yang perempuan pula Fae. Masih belum berkahwin namun sudah lebih 5 tahun bersama. Saya pun bertanya bagaimana mereka menjana duit hingga boleh menetap di Bali dan kemudian mengembara ke lebih 20 negara setahun.
Lalu Nelson ajarkan saya banyak perkara. Siap keluarkan kertas dan suruh saya buat itu dan ini. Dia tanya saya adakah saya menggunakan sosial media? Sudah semestinya, lantas saya buka Facebook dan berlagak kemain tunjuk follower. Hahahaha. Dia ketawa, dia kata itu semua bagus.
Namun, dia tidak mahu semua itu. Dia hanya menjadi editor atau penulis pada buku travel di dalam penerbangan serta menjual gambar di stock photo. Saya tanya lagi kenapa tiada sosial media?
Jawapannya ada, tapi dia tidak suka dan tidak mahu itu semua menjadi gangguan dalam perjalanannya. Sebagai seorang yang mahu melihat alam, keindahan dan keistimewaan mana-mana tempat, dia ingin perasaan yang best. Kemudian, dia ambil gambar dan menulisnya dengan sebaik-baik.
Lalu dia akan emelkan kepada 1 penerbit dahulu. Jika lulus, dia akan terima bayaran sekitar USD30-60 per artikel. Murah sahaja. Namun kawan-kawan, dia menulis lebih 15 artikel sehari dan purata yang lulus ialah 12 artikel sehari.
Jadi, 12 artikel kali dengan USD 60 bersamaan dengan USD 720 sehari. Kali 20 hari (kira macam waktu kerja), maka dia dapat USD14,400 sebulan. Kalau tukar ke RM, maka dia menjana sekitar lebih RM65,000 sebulan. Saya rasa mahu pegang jus alpukat simbah ke muka sendiri sahaja dengar.
Itu belum lagi apabila Fae cerita tentang gambar di Stok Photonya dijual hanya dengan harga sekitar USD3.90-USD4.90 sahaja sekeping. Namun yang muat turun dan beli sehari ialah sekitar 150 orang. Beliau kata, gambar yang diambil hanya tentang kehidupan, benda yang biasa orang guna serta perkara yang normal sahaja.
Tidak perlu sampai rare sana rare sini. Contohnya, dia jumpa sebuah pinggan lama, dia ambil gambar tersebut, dan muat naik sahaja di stock photo. Ada juga gambar portrait, gambar rumah lama serta macam-macam lagi.
Kata Fae, pendapatan setahun mereka “sekadar” USD280,000 setahun. Dan itu antara penyebab mereka mahu tinggal di Bali untuk tahun ke-4 ini. Sebelum ini, mereka di Bangkok dan pernah berada di Langkawi selama 3 bulan namun Bali lebih menarik dan lebih bagus dari sudut penceritaan dalam gambar. Hendak menulis dan berkarya juga katanya lebih banyak jiwa.
Kami berpisah di situ. Yang terngiang dalam kepala saya ialah hebatnya Nelson ini kerana sanggup belajar Bahasa untuk beliau mendapatkan income. Beliau boleh berbahasa Indonesia selepas 2 bulan duduk di Bali dan juga boleh berbahasa Siam, serta boleh berbahasa Mandarin.
Apabila saya tanya kenapa belajar Bahasa, beliau jawab, “Bahasa adalah duit. Di zaman digital sekarang, jika mahu kuasai sesuatu, kuasai bahasanya dahulu. Kemudian, pergi belajar menulis dengan isi yang betul. Fokus dan mesti banyak membaca. Vocab hanya dapat apabila kita membaca sahaja.”
Memang gila kentang punya kagum. Fae nasihatkan saya, ada follower ramai, ianya bagus. Namun kena belajar tentang fokus. Biasanya apabila sudah terlalu ramai manusia kita kena layan, fokus kita sendiri akan lari.
Namun dia tetap bersetuju ada kebaikannya juga dalam menaikkan diri di media sosial. Namun, bukan itu sahaja cara untuk buat duit dan jadi kaya.
Pasangan ini mempunyai bisnes printing di negara mereka (Australia) yang diuruskan oleh keluarganya sendiri. Kata Nelson, “perniagaan terbaik ialah yang buat kita mengembara. Jika hanya duduk setempat, kita tidak belajar. Saya hanya penulis yang orang tidak kenal, dan saya enjoy travel kemana saya ingin. Kalau saya dikenali, boleh jadi saya tidak enjoy. Kena melayan orang lain sana sini bergambar.”
Huhu bestnya hidup dia. Sekejap-sekejap masa bersembang, mereka bercium. Saya tunduk sahajalah, takkan nak cium gelas alpukat pula.
Itulah kawan-kawan,
Ada pro-kontra dalam dunia bisnes kita. Namun tidak semestinya apa yang kita buat sekarang tidak bagus untuk orang lain walau ia bagus untuk kita. Boleh jadi, orang lain pun bersepah lagi pandai walau kita rasa kita hebat sudah.
Saya perhati sahaja Fae hanya guna beg tradisional bali. Beg kain yang harganya sekitar RM30 sahaja agaknya. Pakai selipar dan Nelson hanya bersinglet, seluar pendek dan berkasut sukan.
Yang penting ialah berbuat sesuatu dengan fokus yang betul. Ikutkan, kedua-duanya ini sanggup ambil kelas yang betul, menguasai sesuatu bidang hingga akhirnya memberi mereka pulangan yang hebat. Hidup mereka gembira sahaja. Tidak perlu pening ingin buat itu mahu buat ini. Nak melayan follower pun tidak payah. Aman benar.
Namun, sebagai orang yang sudah teruskan bisnes ini, saya belajar sesuatu iaitu kita perlu menjadi pendengar yang baik tentang bisnes orang lain. Apabila mereka hebat, itu tidaklah menjadikan bisnes kita tidak. Ianya tentang belajar menerima perbezaan dan menghargai setiap jalan cerita yang Allah berikan.
Kita hidup berTuhan. Dan semua yang terbentang luas ini adalah lapangan masing-masing mencari rezeki. Tinggal kita sahaja mahu usaha atau tidak. Antara benda yang saya suka tentang mereka berdua ini ialah mereka sangat hebat berkomunikasi. Mereka sebut saya “my brother” si Fae duk sebut “My Friend” berkali-kali apabila bercerita tentang bisnes mereka.
Mereka menghargai pertemuan dan kemudian saling mendengar serta belajar. Langsung tidak bercakap hal negative dan buruk sana sini. Itulah kelebihan orang mengembara. Matanya melihat keindahan, jika ada ujian, itu adalah cabaran untuk dirinya, bukan untuk bersembang kencang sampai orang lain terasa kesannya.
Dan yang lebih hebat ialah mereka alami semua keindahan itu, lalu tulis dan dokumenkan dalam bentuk gambar dan video. Apabila semua sudah ok, mereka jualkan kepada sesiapa yang mahu. Lalu mereka peroleh hasil yang mana semua itu adalah dari sebuah perjalanan sahaja.
Begitulah.
Terima kasih Nelson dan Fae.
Khairul Hakimin Muhammad,
Seminit di Bali, seribu ilmu Allah beri.