Menjadi kebiasaan  buat orang ramai berkongsi review menerusi media sosial selepas mencuba sesuatu juadah dari bazar Ramadan. Malah, netizen merasakan ia sangat membantu dalam menentu sama ada juadah atau minuman itu berbaloi atau hanya hype sahaja.

Namun begitu, seorang individu menerusi platform X mendedahkan bahawa dia telah ‘diserang’ oleh pemilik  gerai murtabak dari sebuah bazar Ramadan kerana review jujurnya.

Difahamkan dia telah memuat naik satu gambar gerai murtabak berserta pandangan peribadi terhadap juadah murtabak yang dibelinya. Secara keseluruhan, dia memberikan rating yang agak baik namun tidak berpuas hati dengan isi daging yang sedikit tidak setara dengan harganya.

Dia menerangkan murtabak berharga RM6 itu didapati ada daging cincang seketul dua sahaja dan selebihnya hanyalah telur. Rasanya pula tidaklah sesedap mana sekaligus mrnjadikan pembelian dua murtabak tersebut tidak berbaloi sama sekali.

Kemudian, individu ini berkongsi beberapa tangkap layar yang memperlihatkan pemilik gerai murtabak tersebut menyerang dia dan menuduh tidak bersikap profesional kerana mengambil gambar tanpa izin dan tidak memberikan maklum balas secara terus kepada mereka.

Peniaga itu turut menggunakan sentimen barang mentah yang mahal untuk mempertahankan tindakannya.

Bagaimanapun, individu dengan nama samaran kyuo lantas mempertahankan diri dengan mengatakan dia berhak untuk memberi pandangan terhadap makanan yang dibeli dan berkongsi di media sosial seperti orang lain. Malah, gambar yang diambil juga adalah di tempat awam yang mana tidak menjadi kesalahan untuk dimuat naik.

Review
Sumber Gambar: X kyuo

Lebih teruk lagi, wujud kroni-kroni yang didakwa dari pihak peniaga turut melontarkan komen negatif  kepada akaun media sosial miliknya seperti tuduhan menjahanamkan bisnes orang lain serta mengganggu ‘orang mencari rezeki’ di bazar Ramadan.

Sumber Gambar: X kyuo

Susulan itu, dia pilih untuk memprivasikan video tersebut kerana tidak mahu diganggu lagi dan mahu memberi fokus kepada perkara yang lebih penting. Dia juga sudah memohon maaf kepada peniaga tersebut serta meminta mereka untuk mengambil sebarang komentar orang ramai dalam memperbaiki kualiti dan servisnya atau membiarkan sahaja.

Dalam pada itu, netizen turut menghujani ruang komentar itu dengan meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan peniaga yang menyerang pelanggannya dengan komen tidak profesional.

“Pelanggan berhak untuk bagi review bagus atau buruk. Takkanlah satu review atau komen macam ini terus menjejaskan perniagaan. Rasanya tak terkesan pun. Berpengalaman dalam berniaga tidak bermaksud anda tidak pernah dapat review negatif, mesti ada cuma tidak seperti ini,” panjang lebar kongsi seorang netizen.

“Geram pulak peniaga yang tidak boleh terima feedback ni. Nak orang review elok, jual la barang yang bagus?,” luah seorang netizen.

“Peniaga yang tidak boleh terima teguran atau maklum balas daripada pembeli, seeloknya tidak payah berniagalah. Kalau anda peniaga yang cerdik, gunakan maklum balas tersebut untuk tingkatkan kualiti produk kau, bukan pergi melenting tidak tentu pasal,”  ujar seorang pengguna lain.

Malah, netizen turut berkongsi pengalaman menghadapi ‘peniaga terpaling betul’ yang tidak boleh menerima sebarang komen negatif.

Sumber