Tular di media sosial dengan beberapa sedutan video dari rancangan memasak terkemuka iaitu MasterChef Australia yang cuba menerokai juadah dari Malaysia.
Kehadiran juri profesional dari kalangan Malaysia iaitu Diana Chen, pemenang MasterChef Australia Musim ke-16 dan juga Junda Khoo seorang chef berkaliber yang mempunyai restoran di Melbourne telah merancakkan lagi rancangan pada kali ini.
Di dalama satu video yang dimuat naik oleh akaun TikTok rasmi MasterChef Australia, seorang peserta telah bercadang untuk menyediakan satu juadah kegemaran Malaysia iatu murtabak untuk pusingan berikutnya di dalam pertandingan masakan itu.
Jadi, kedua-dua juri itu bersembang mengenai menu tersebut dan berkongsi kriteria yang diperlukan dalam menghasilkan satu juadah murtabak yang sempurna.
@masterchefau Riding the murtabak all the way through round two 🏍️ MasterChefAU: Back To Win | Stream Now on 10 Play
♬ original sound – MasterChef Australia – MasterChef Australia
Video itu langsung memperlihatkan angka jumlah tontonan mencecah lebih 900,000 yang mana memperlihatkan majoriti penonton adalah dari Asia Tenggara kerana ruangan komen dipenuhi Bahasa Malaysia dan Indonesia.
Walaupun ramai yang bangga juadah tradisi kita berjaya meletakkan imejnya di dalam peta Australia, timbul pula perdebatan di antara negara-negara berkaitan yang menyoal asal usul sebenar juadah tersebut.
Untuk Malaysia, sudah terang lagi bersuluh tentang asal usul Murtabak yang sudah bertapak sejak sekian lama sehingga menjadi juadah tradisi turun-temurun.
Murtabak di sini lazimnya adalah adunan telur, daging cincang (ayam, daging lembu, kambing), dan rempah yang dibalut dalam kulit doh nipis yang digoreng hingga keemasan. Ia selalunya dihidangkan bersama kuah kari, hirisan timun, atau sos bawang.

Sementara netizen Indonesia pula mendakwa juadah Murtabak itu sebenarnya dikenali sebagai Martabak yang mungkin disalah erti oleh sesetengah individu.
Tahukah anda terdapat dua jenis martabak yang tersedia di negara Indonesia iaitu Martabak Manis dan Martabak Asin?
Juadah Martabak Asin ini adalah versi yang paling mirip dengan murtabak di Malaysia, menggunakan telur dan daging. Sementara Murtabak manis Ini adalah hidangan yang sama sekali berbeza, manis, dan dikenali juga sebagai “terang bulan” atau “hok lo pan”.

Dalam pada itu, sebahagian netizen pula mendakwa Murtabak sebenarnya berasal dari Arab yang mana perkataan dipinjam dari frasa Mutabbaq atau ‘dilipat’.
Kebanyakan sumber bersetuju bahawa murtabak berkemungkinan besar berasal dari Yaman. Hidangan ini dipercayai dihasilkan oleh masyarakat Yaman pada suatu ketika dahulu.
Di Yaman, terdapat variasi mutabbaq yang mungkin berbeza dari murtabak yang kita kenali hari ini, contohnya mutabbaq samak yang menggunakan ikan, nasi, dan roti yang disusun berlapis.
Walaupun terdapat perdebatan sengit mengenai “siapa yang punya murtabak”, bukti sejarah menunjukkan bahawa akar umbi hidangan ini berasal dari Timur Tengah (Yaman) dan disebarkan ke Asia Tenggara melalui pedagang India Muslim, yang kemudiannya disesuaikan mengikut citarasa tempatan.
Oleh itu, murtabak yang kita kenali hari ini adalah hasil gabungan pelbagai pengaruh budaya dan masakan.