Beberapa laluan di ibu negara akan ditutup mulai Sabtu (5 Ogos) ini hingga 4 Ogos tahun depan bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata jalan yang akan ditutup ialah Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi atau Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew.

Baca Juga:

Memetik kenyataan Facebook DBKL, sebagai laluan alternatif, pengguna boleh menggunakan lencongan trafik iaitu dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Sungai Besi atau Petaling Jaya yang akan dilencongkan kepada dua bahagian iaitu melalui jalan bersebelahan Federal Bakery dan memasuki laluan kontra di lorong bersebelahan.

Bagi trafik dari Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Loke Yew dan Jalan Sungai Besi akan dilencongkan ke Jalan Yew menghala ke Bulatan Pudu sahaja.

Sebagai laluan alternatif, pengguna jalan raya hendaklah melalui pusingan U di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Pudu.

Manakala laluan trafik Jalan Yew dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching akan ditutup pada tempoh pembinaan dan laluan alternatif adalah melalui Jalan Kampung Pandan, Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah.

Sementara itu, bagi membolehkan kerja-kerja merobohkan jambatan susur dan pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu) dilaksanakan, jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew ditutup kepada semua lalu lintas dalam tempoh sama — laluan alternatif adalah melalui Jalan Sungai Besi, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga.

Sehubungan dengan itu, DBKL menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik sebagai panduan serta langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan dan sebarang kesulitan.