Kecoh baru-baru ini apabila tular mengenai sebuah kereta polis dibakar di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara. Terbaharu, suspek individu yang membakar kereta polis bantuan ini telah berjaya ditahan.

Terbaharu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima laporan polis tentang kejadian itu pada jam lebih kurang 1.52 pagi tadi.

“Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya berjaya melakukan tangkapan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.

“Suspek seorang warga tempatan berjaya ditahan dan serbuan di rumahnya yang terletak di Flora Damansara, di sini, sekitar jam 12 tengah hari tadi dan merampas barangan dipercayai digunakan untuk jenayah itu,” katanya kepada MalaysiaGazette

Siasatan awal turut mendapati suspek ada melakukan berbuatan vandalisme dengan mencoteng dinding kaca di stesen itu dengan kata kesat sebelum membakar kereta milik Prasarana.

“Motif suspek bertindak demikian kerana dipercayai tidak berpuas hati terhadap pihak polis bantuan syarikat tersebut.

“Polis sedang menjalankan siasatan kes ini di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat api atau bahan letupan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 14 tahun dan denda,” tambahnya.