Baru-baru ini, sebuah video tular telah memaparkan tindakan merbahaya sekumpulan individu yang menyalakan suar sambil menaiki kenderaan pacuan empat roda dan motosikal elektrik di Bukit Bintang.
Kejadian yang mencetuskan kebimbangan awam di Jalan Sultan Ismail pada awal pagi Isnin itu merupakan sebahagian daripada kempen promosi sebuah kedai pakaian yang dipercayai beroperasi di Dengkil sejak enam tahun lalu, petik Sinar Harian.
Susulan daripada penularan insiden tersebut, pihak polis telah bertindak pantas dengan menahan 15 individu, yang terdiri daripada 14 orang lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun.
@nstonline NSTTV Police are tracking men who lit flares from a Toyota Hilux along Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, at 2am, after a Threads video showed about eight involved, including riders on electric scrambler motorcycles. BukitBintang Police Hunt Flares PickupTruck PublicDisturbance KualaLumpur PDRM PoliceInvestigation
Tangkapan Kurang 24 Jam
Penahanan yang dilakukan kurang daripada 24 jam selepas kejadian itu diumumkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, menerusi satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari Selasa.
Menurut beliau, kesemua suspek telah diberkas melalui operasi berasingan yang dijalankan di kawasan Batu Caves, Shah Alam, Dengkil, dan Kajang di antara jam 12 tengah hari sehingga 8 malam pada hari Isnin.
Siasatan awal pihak polis berjaya membongkar perancangan di sebalik aksi tersebut, di mana pemilik kedai pakaian berkenaan, seorang lelaki berusia 24 tahun, telah mengupah beberapa individu untuk melakukan aksi berbahaya itu.
Pekerja-pekerja upahan ini dilaporkan menerima bayaran sekitar RM50 hingga RM700 bagi setiap orang.
Rampas pelbagai kenderaan
Dalam operasi tangkapan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah motosikal elektrik jenis scrambler yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Pemeriksaan lanjut ke atas motosikal tersebut mendapati ia sebenarnya adalah kenderaan yang hanya dibenarkan untuk tunggangan di kawasan laluan lasak (off-road) dan bukannya untuk kegunaan di jalan raya awam.
Kesemua 15 suspek telah dikenakan perintah reman sehingga hari Khamis bagi tujuan membantu siasatan lanjut.
Asisten Komisioner Sazalee mengingatkan orang ramai bahawa mereka tidak akan sama sekali berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang cuba mengancam ketenteraman awam serta keselamatan masyarakat.
Beliau turut menghargai kerjasama masyarakat setempat kerana kejayaan penahanan pantas ini adalah hasil daripada maklumat berharga yang diterima daripada orang awam.
Kini, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh di bawah pelbagai peruntukan undang-undang;
Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kes ini menjadi pengajaran penting buat para peniaga bahawa sebarang taktik pemasaran yang melanggar batasan undang-undang dan membahayakan keselamatan awam pastinya akan berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas.