Tujuh pemain sepak takraw Thailand yang beraksi di regu pertama dan kedua dalam aksi final acara berpasukan TM ISTAF Piala Dunia Sepak Takraw 2026 terselamat daripada turut dikenakan prosiding tatatertib Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Marukin Phanmakon, Jirasak Pakbuangoen, Pornthep Tinbangbon, Kritsada Sunvung, Wuttinun Kamsanor, Tanaphon Sapyen dan Kritsanapong Nontakote dilihat turut serta menunjukkanr reaksi tidak profesional ketika regu ketiga yang dibarisi Jakkrit Tinbangbon, Sittipong Khamchan (tekong) Phutawan Sopa (perejam), Wichan Temkort dan Chattuphon Siriart memilih untuk tidak meneruskan permainan susulan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil  dari Singapura, Radhi Che Mei.

Bagaimanapun menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan ISTAF sebentar tadi, tujuh pemain tersebut tidak akan dikenakan tindakan tatatertib, sebaliknya hanya diberikan amaran rasmi.

Ini bermakna hanya Sittipong, Jakkrit, Phutawan, Wichan dan  Chattuphon bakal dibawa ke prosiding tatatertib ISTAF bersama tiga pegawai pasukan.

7 Pemain Thailand Terselamat

“Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) ingin menjelaskan bahawa pihaknya belum memulakan prosiding tatatertib terhadap tujuh (7) lagi pemain Pasukan Sepaktakraw Kebangsaan Thailand berhubung insiden yang didakwa berlaku semasa Perlawanan Akhir TM ISTAF Sepaktakraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung pada 24 Mei 2026.”

“Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Tatatertib ISTAF telah meneliti dengan teliti rayuan serta representasi yang dikemukakan oleh Persatuan Takraw Thailand (TAT) yang diketuai Presidennya, Thana Chaiprasit dan Setiausaha Agungnya, Dr. Srihasak Arirachakaran.”

“ISTAF menghargai pendirian TAT yang menegaskan semula sokongannya terhadap proses tatatertib serta komitmennya untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan semua fakta dan keadaan yang berkaitan dapat dikemukakan dengan sewajarnya.”

“Mengambil kira keadaan semasa serta penglibatan yang agak terhad oleh pemain-pemain berkenaan, ISTAF memutuskan bahawa tujuh pemain berikut daripada Regu Pertama dan Regu Kedua tidak akan dikenakan prosiding tatatertib: Regu 1, Marukin Phanmakon (Kapten), Jirasak Pakbuangoen, Pornthep Tinbangbon, Kritsada Sunvung (Pemain Simpanan yang diturunkan) dan Regu 2 Wuttinun Kamsanor (Kapten), Tanaphon Sapyen, Kritsanapong Nontakote.”

Thailand
Kredit Foto: Sanamtakraw

“Sebaliknya, pemain-pemain tersebut akan diberikan Amaran Rasmi dan dikehendaki menandatangani satu Aku Janji yang menegaskan semula komitmen mereka terhadap semangat kesukanan, penghormatan kepada pegawai perlawanan serta pematuhan kepada Perlembagaan, Peraturan dan Regulasi ISTAF.”

“ISTAF mengiktiraf bahawa atlet-atlet daripada Regu Pertama dan Regu Kedua telah pun menamatkan perlawanan masing-masing dan penglibatan mereka dalam insiden yang membawa kepada pembatalan Perlawanan Akhir adalah terhad.”

“Persekutuan itu berpandangan bahawa adalah adil dan wajar untuk memastikan mereka yang tidak terlibat secara langsung tidak ditarik masuk secara tidak perlu ke dalam prosiding tatatertib utama.”

“Sementara itu, prosiding tatatertib terhadap lima (5) pemain Regu Ketiga Thailand bersama jurulatih-jurulatih berkaitan dan Pengurus Pasukan akan diteruskan mengikut Perlembagaan serta Peraturan Tatatertib ISTAF.”

“Prosiding tersebut bertujuan untuk menentukan fakta dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menerusi proses yang bebas dan tidak berat sebelah.”

“Pada masa sama, ISTAF menegaskan bahawa prosiding tatatertib yang melibatkan Regu Ketiga tidak seharusnya menjejaskan reputasi, pencapaian dan kedudukan Thailand sebagai salah satu negara terhebat dalam sejarah sukan sepaktakraw.”

“Thailand telah memberikan sumbangan luar biasa kepada pembangunan sukan ini selama beberapa dekad. Generasi pemain, jurulatih dan pegawai bertaraf dunia dari Thailand telah mengangkat standard sepaktakraw ke peringkat global serta menjadi inspirasi kepada banyak negara untuk menceburi sukan ini.”

“ISTAF percaya bahawa atlet-atlet muda Thailand masih mempunyai masa depan yang cerah. Insiden malang yang berlaku semasa final Piala Dunia itu seharusnya menjadi pengajaran penting bukan sahaja kepada Thailand, malah kepada seluruh komuniti sepaktakraw antarabangsa bahawa rasa hormat, disiplin dan semangat kesukanan adalah sama penting dengan bakat dan kejayaan di gelanggang.”

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata:

“Thailand merupakan sebuah negara kuasa besar sepaktakraw dan anggota yang amat penting dalam keluarga sepaktakraw dunia. Satu insiden malang tidak seharusnya menentukan masa depan sebuah negara yang telah menyumbang begitu banyak kepada sukan ini.”

“ISTAF percaya kepada tindakan disiplin apabila diperlukan, tetapi kami juga percaya kepada pendidikan, pemulihan dan peluang kedua.”

“Kami yakin Thailand akan bangkit lebih kuat daripada pengalaman ini dan terus menginspirasikan dunia menerusi semangat, kecemerlangan dan komitmen mereka terhadap sukan sepaktakraw.”

“Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa kekal komited untuk melindungi integriti sukan ini sambil memastikan keadilan, proses yang sewajarnya dan penghormatan terhadap semua pihak yang terlibat.”