Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum mengesahkan kehadiran Herry Iman Pierngadi selaku jurulatih beregu negara tetapi segelintir peminat di Indonesia mula ‘gusar’ dengan kehadiran pengendali legenda tersebut.

Sejak berita peletakan jawatan Tan Bin Shen pada 20 Disember 2024, nama Herry Iman dikaitkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Baca Juga:

Malah, jurulatih berusia 62 tahun itu juga turut mendedahkan hanya menunggu tawaran rasmi daripada BAM dan bersedia untuk mengubah angin ke Malaysia.

Ucapan selamat tahun baru di laman Instagram peribadi miliknya juga turut memberikan isyarat seperti Malaysia bakal menjadi destinasi seterusnya buat Herry Iman.

Sembilan titik pada ‘Good Bye……… 2024’ dan lapan titik di ‘Welcome……..2025’ itu juga turut ‘disiasat’ oleh peminat yang dikatakan oleh mereka merujuk kepada Indonesia dan Malaysia.

Komen Mohammad Ahsan yang merupakan bekas anak didiknya juga turut menguatkan lagi spekulasi perpindahan tersebut.

Meskipun masih belum ada pengumuman rasmi dari pihak BAM, para peminat badminton Indonesia beranggapan sektor beregu lelaki Malaysia akan cemerlang berikutan kehadiran Herry.

Ia dapat disaksikan dalam satu hantaran dibuat Amazing Badminton Community berkaitan spekulasi perpindahan jurulatih yang turut dikenali sebagai ‘Naga Api’ itu.

Tidak kurang juga yang mengatakan Malaysia akan tampil lebih baik berbanding Indonesia jika melihatkan kepada gandingan Rexy Mainaky dan Herry Iman.

Selain itu ramai juga peminat Indonesia yang mendoakan kejayaan Herry Iman bersama pasukan baharunya selepas ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, BAM turut mendedahkan akan mengumumkan pengganti Tan Bin Shen itu dalam tempoh dua minggu.

Ia bermakna pengumuman rasmi akan dibuat selepas Terbuka Malaysia 2025 yang merupakan kejohanan terakhir Bin Shen bersama skuad negara.