Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebentar tadi telah mengumumkan senarai pemain yang bakal menggalas tanggungjawab negara dalam Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember nanti.

Barisan pemain yang disenaraikan ialah Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Baca Juga:

Chen Tang Jie dan Ho Pang Ron turut disenaraikan bagi acara berpasukan lelaki.

Sementara itu bagi acara berpasukan wanita pula, skuad negara meletakkan harapan kepada K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Muhammad Azmi, Eng Ler Qi, Pearly Tan-M. Thinaah, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dan Toh Ee Wei serta Cheng Su Yin.

BAM Hantar Skuad Terkuat Hadapi Sukan SEA 2025
Barisan Pemain Acara Berpasukan Sukan SEA 2025. Kredit Foto: BAM

Keputusan itu mungkin sedikit mengejutkan kerana pada temasya-temasya sebelum ini skuad negara hanya membariskan pemain-pemain muda sebagai pendedahan.

Bagaimanapun bukan sahaja Malaysia kerana tuan rumah, Thailand juga menghantar skuad utama dalam menghadapi temasya dwi-tahunan tersebut.

Manakala, desas-desus turut mengatakan Indonesia turut akan menghantar skuad terkuat mereka nanti.

BAM Hantar Skuad Terkuat Hadapi Sukan SEA 2025
Barisan Pemain Acara Individu Sukan SEA 2025. Kredit Foto: BAM

Sukan SEA 2025 Menarik Untuk Disaksikan

Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa Sukan SEA 2025 bakal menjadi medan pertarungan sengit antara kuasa besar badminton Asia Tenggara yang tidak lagi memandang temasya ini sebagai sekadar pentas pendedahan pemain muda.

Sehubungan dengan itu, saingan di gelanggang badminton pada Disember nanti dijangka menjadi antara acara paling tumpuan dalam keseluruhan temasya Sukan SEA 2025.

Difahamkan acara badminton akan diadakan di Gimnasium Universiti Thammasat.

Sumber