Masih ada sinar harapan buat Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pasangan beregu campuran negara itu akan kembali bersama.
Badan induk badminton tanah air itu sebelum ini memisahkan kedua-dua pemain tersebut selepas mereka kelihatan tidak serasi dalam beberapa kejohanan terakhir.
Bahasa tubuh Tang Jie-Ee Wei juga kelihatan cukup kekok ketika beraksi hingga menyaksikan mereka sering tersingkir awal.
Keadaan itu menjurus kepada berita perpisahan mereka dimana pengganti masing-masing juga sudah dikenalpasti.
Namun, perkembangan baharu daripada BAM ini jelas menggembirakan peminat badminton tanah air kerana Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berada di ranking terbaik pada ketika ini
Walaupun tidak beraksi dalam Kejohanan Badminton Asia tempoh hari, Tang Jie-Ee Wei masih kekal berada di ranking keempat dunia.
Kenyataan BAM Berkenaan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei
“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan bahawa Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan menyambung semula gandingan mereka dalam acara beregu campuran.”
“Keputusan ini dibuat selepas permintaan daripada kedua-dua pemain serta hasil perbincangan mendalam antara pasukan kejurulatihan dan pemain-pemain tersebut.”
“Pasangan ini, yang pernah mencapai ranking dunia tertinggi No. 3, kini akan memberi fokus semula di pentas antarabangsa – bermula dengan Terbuka Singapura (27 Mei – 1 Jun) – dalam usaha mereka untuk mengembalikan prestasi terbaik,” ujar BAM dalam kenyataan rasmi dikeluarkan sebentar tadi.
Kedua-dua pemain itu turut disenaraikan dalam skuad Piala Sudirman 2025 dan dilihat berlatih bersama-sama.